Pengeluaran Honda RS150R dijangka akan ditamatkan selepas pelancaran Honda Winner X di pasaran Malaysia

Sejak dahulu lagi, pelbagai jenis model-model motosikal dilancarkan dan ditamatkan pengeluarannya di pasaran negara kita Malaysia. Ianya merupakan situasi biasa yang turut berlaku di pasaran luar negara, seperti pelancaran model Honda Winner X pada tahun 2019 dan tamatnya pengeluaran model Honda Winner pada tahun yang sama.

Di pasaran Malaysia pada ketika ini, Honda Winner yang dikenali dengan nama Honda RS150R masih lagi dijual di pasaran tempatan, sejak pelancarannya buat pertama kali pada tahun 2016. Namun dengan kehadiran model terbaharu Honda Winner X (Honda RS150R V3) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, apakah nasib model berkenaan?

Setakat ini berdasarkan pemerhatian dan ramalan awal yang boleh dijangkakan, Honda RS150R akan ditamatkan pengeluarannya pada tahun ini, bagi memberi laluan kepada model baharu Honda Winner X. Ini kerana kedua-dua model tersebut mempunyai enjin yang sama dan adalah tidak praktikal untuk kedua-duanya bersaing sesama sendiri.

Dengan pelancaran model Honda Winner X yang tampil dengan rekaan lebih bergaya dan sporty, serta dilengkapi sistem brek ABS yang lebih selamat, sudah tentu pembeli akan lebih memilih model Honda Winner X berbanding Honda RS150R. Agak mustahil untuk melihat Boon Siew Honda terus menawarkan Honda RS150R selepas ini.

Bagaimanapun jika Boon Siew Honda masih mahu kekal menawarkan Honda RS150R di pasaran tempatan, bermakna syarikat itu perlu menetapkan harga yang berlainan, sama seperti strategi yang dibuat oleh Hong Leong Yamaha Motor terhadap dua model Yamaha Y15ZR dan Yamaha Y16ZR. Kedua-duanya mempunyai harga yang berbeza.

Pihak Boon Siew Honda sememangnya boleh menetapkan harga yang berlainan untuk Honda Winner X dan Honda RS150R, demi mengekalkan Honda RS150R di pasaran tempatan. Namun tidak semestinya strategi tersebut akan berjaya, kerana jika Honda Winner X ditawarkan pada harga yang agak tinggi, jualannya mungkin akan terjejas.

Harga yang tinggi untuk Honda Winner X bermakna pembeli mungkin akan membuat keputusan membeli pesaingnya iaitu Yamaha Y16ZR. Tambahan pula pihak Hong Leong Yamaha Motor masih lagi menawarkan model Yamaha Y15ZR pada harga yang kini lebih berpatutan, di mana model tersebut masih lagi mendapat pemintaan ramai.

Jika benar Boon Siew Honda akan menamatkan pengeluaran model Honda RS150R, ianya bukanlah suatu perkara yang mengejutkan. Untuk peminat setia, Honda RS150R ketika ini masih lagi dijual di kedai-kedai motosikal yang berdekatan, pada harga OTR terkini sekitar RM 7,500.00 sahaja. Dapatkannya segera sebelum kehabisan stok.