Yamaha di pasaran Thailand pada bulan Mac 2021 yang lepas telah memperkenalkan model bergaya retro Yamaha XSR155 2021, yang kini didatangkan empat pilihan warna terbaharu iaitu Dark Gray, Black, Gray dan White Red 80s. Harga yang ditawarkan ialah sebanyak 91,500 THB, bersamaan RM 12,106.43 mengikut kadar tukaran semasa.
Yamaha XSR155 merupakan sebuah model yang kental dengan ciri-ciri bergaya klasik, yang mana ianya hadir dengan lampu depan dan belakang LED berbentuk bulat, panel meter digital LCD yang juga berbentuk bulat, tempat duduk bergaya retro yang selesa dan gaya tunggangan santai yang sesuai untuk perjalanan jarak dekat atau pun jauh.
Yamaha XSR155 mempunyai enjin berkapasiti 155cc (Single Cylinder, Liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves, VVA), dan dipadankan transmisi enam kelajuan bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch untuk tunggangan yang lebih mudah. Jumlah kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 19hp @ 10,000rpm dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.
Seterusnya model tersebut dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti penuh 10 liter, manakala berat motosikal hanya 134 kg (wet weight). Ketinggian tempat duduk berada pada paras 810 mm, dengan jarak kelegaan tanah minimum 170 mm. Dimensi panjang x lebar x tinggi untuk keseluruhan motosikal ialah 2,005 mm X 805 mm X 1,080 mm.
Di bahagian suspensi, Yamaha XSR155 dilengkapi fork depan jenis upside-down yang bergandingan dengan suspensi belakang jenis monoshock, sementara roda depan dan belakangnya masing-masing hadir dalam ukuran 110/70 – 17 (tubeless) dan 140/70 – 17 (tubeless). Sistem brek disempurnakan oleh brek cakera depan dan juga belakang.
Secara keseluruhannya, penampilan Yamaha XSR155 2021 di pasaran Thailand ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri, khususnya untuk peminat motosikal bergaya klasik dan retro. Setakat ini masih belum ada sebarang maklumat sama ada model ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia, mungkin pada masa yang akan datang.