Benelli Malaysia baru saja melancarkan model moped terbaharu Benelli R18i yang kini dilengkapi enjin bersesaran 174cc yang lebih berkuasa, di samping gaya rekaan terkini yang lebih sporty. Dengan pelancaran model tersebut, bagaimana pula agaknya dengan nasib model terdahulu Benelli RFS150i yang telah empat tahun berada di pasaran?
Sebelum itu kita imbas kembali sejarah awal Benelli RFS150i, yang mana ianya secara rasmi telah dilancarkan dalam bulan April 2018. Pelancaran model tersebut merupakan suatu kejutan kerana ramai yang tidak menyangka bahawa Benelli akan mengeluarkan sebuah model moped, tambahan pula Malaysia menjadi negara pertama menerimanya.
Benelli RFS150i kemudiannya dilancarkan di banyak pasaran luar negara, termasuklah di pasaran Vietnam, Filipina, China, Algeria dan juga Georgia. Spesifikasi teknikal pada model tersebut boleh dikatakan memuaskan, apabila ianya dilengkapi enjin bersesaran 149.8cc dengan kuasa maksimum 15.4PS @ 8,500rpm dan tork 13Nm @ 7,000rpm.
Sejak tahun 2018 sehinggalah pada awal tahun 2021, jualan Benelli RFS150i seringkali dibayangi oleh dua model moped popular yang lain di pasaran tempatan iaitu Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Namun begitu Benelli RFS150i tetap mendapat perhatian ramai peminat motosikal moped tempatan yang kagum dengan teknologi buatan Itali.
Berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi oleh Arena Motosikal, pengeluaran untuk model Benelli RFS150i kini telah dihentikan, bagi memberi laluan kepada model Benelli R18i. Namun begitu setakat ini pihak Benelli Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, jadi maklumat ini masih bersifat khabar angin atau spekulasi sahaja.
Jika pengeluaran Benelli RFS150i dihentikan, ianya merupakan perkara biasa di dalam industri pengeluaran motosikal tempatan dan antarabangsa. Mungkin untuk anda yang masih mahu memiliki model tersebut, atas apa saja alasan yang dikira wajar, masih ada masa untuk mendapatkannya sebelum ianya kehabisan stok buat selama-lamanya.