Suzuki Gixxer SF250 2021 diperkenalkan di pasaran domestik Jepun, terima kemaskini warna baharu

Suzuki di pasaran Jepun kelmarin dengan rasminya memperkenalkan model sport bike full fairing Suzuki Gixxer SF250 model tahun 2021, yang kini didatangkan pilihan warna terbaharu. Bagi warna Triton Blue Metallic, ianya merupakan warna terdahulu daripada musim 2020, manakala warna Matte Black Metallic ialah warna baharu sepenuhnya.

Kedua-dua pilihan warna itu didapati sama seperti mana yang ditawarkan untuk model Suzuki Gixxer SF 2021, yang baru saja dilancarkan di pasaran Thailand dalam bulan Mac yang lepas. Untuk pasaran Jepun, Suzuki Gixxer SF250 2021 dijual pada harga 481,800 Yen (RM 18,179.10), dan akan berada di pasaran mulai tarikh 20 April 2021.

Selain daripada kemaskini warna baharu, spesifikasi teknikal kekal sama seperti model tahun 2020. Suzuki Gixxer SF250 memiliki enjin dalam sesaran 249cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve, oil-cooled) yang dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan keluaran kuasa maksimum 26PS @ 9,000rpm dan tork maksimum 22Nm @ 7,300rpm.

Model sport bike yang tampil dengan gaya sporty itu turut dilengkapi butang penghidup Suzuki Easy Start System, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 12 liter, fork depan teleskopik dengan saiz 41 mm, suspensi belakang monoshock dengan ciri boleh laras prabeban dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS dua saluran.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya termasuklah panel meter digital LCD dengan pelbagai info penting, lampu depan dan belakang LED, ketinggian pelana 800 mm danĀ  sistem ekzos dengan rekaan muncung berkembar. Di bahagian roda, ianya dibalut tayar dalam siri 110/70-R17 untuk bahagian depan dan 150/60R17 untuk bahagian belakang.

Setakat ini di pasaran ASEAN selain Thailand, Suzuki Gixxer SF250 turut ditawarkan di pasaran Filipina, manakala pasaran Indonesia dijangka bakal menerima pelancarannya tidak lama lagi. Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Malaysia sebelum ini telah menyiarkan teaser mengenai model Gixxer ini, namun selepas itu terus menyepi sehingga kini.