Zontes ZT155-U1 2021 kini di pasaran Singapura, jentera ADV dengan enjin 155cc yang berkuasa

Pasaran Singapura mungkin tidak sebesar pasaran negara kita Malaysia, namun antara model-model motosikal menarik keluaran Zontes yang ditawarkan di sana ialah Zontes ZT155G yang dilengkapi enjin 155cc dan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 20 liter. Dan kini sebuah lagi model menarik keluaran Zontes turut ditawarkan di sana.

Model tersebut ialah Zontes ZT155-U1 2021, yang mana ianya merupakan sebuah model baharu bertaraf ADV (adventure) yang bukan saja sesuai digunakan di jalan raya biasa, malah juga mampu meredah mana-mana jalan dengan permukaan yang serba mencabar. Spesifikasi teknikal model itu juga kelihatan sangat menarik dan lengkap.

Zontes ZT155-U1 dikuasakan enjin bersesaran 155cc (1-cylinder, liquid-cooled, 4-valve) yang patuh piawaian Euro 5, seterusnya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem EFI daripada Bosch, di samping terdapat dua pilihan mod tunggangan iaitu E (Eco) dan S (Sport).

Keluaran kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 18PS @ 9,250rpm dengan tork maksimum 16Nm @ 7,500rpm, cukup berprestasi untuk motosikal dengan berat kering hanya 128 kg itu. Dengan kapasiti maksimum tangki bahan api seluas 12.5 liter pula, jarak perjalanan yang boleh dicapai olehnya dikatakan sejauh lebih 500 km.

Untuk ciri tunggangan yang mantap, Zontes ZT155-U1 dilengkapi fork depan jenis USD dan suspensi belakang monoshock dengan gas nitrogen dan ciri pelarasan prabeban. Ciri keselamatan terbaiknya pula disempurnakan oleh brek cakera depan dan belakang 300 mm dan 230 mm, lengkap dengan sistem ABS dua saluran daripada Bosch.

Seterusnya melengkapkan lagi ciri-ciri menarik pada model adventure kompak tersebut termasuklah panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, teknologi keyless yang canggih dengan pelbagai ciri kawalan, dua port pengecasan USB, rekaan tempat duduk unik dengan ketinggian 825 mm dan sistem ekzos dengan rekaan tersendiri.

Di bahagian roda yang merupakan antara ciri terpenting untuk sesebuah model bertaraf ADV, Zontes ZT155-U1 didatangkan rim jenis berjejari yang dibalut tayar jenis all-terrain tanpa tiub, masing-masing berukuran 110 / 70-17 (depan) dan 130 / 70-17 (belakang). Jarak kelegaan bumi motosikal tersebut berada pada paras yang sesuai iaitu 215 mm.

Untuk pasaran Singapura, Zontes ZT155-U1 2021 ditawarkan pada harga $15,000 (RM 46,297.03) OTR tidak termasuk insuran. Untuk pasaran Malaysia jika ianya dilancarkan nanti, harganya pasti lebih mampu milik. Namun setakat ini masih belum ada sebarang maklumat sekiranya pihak Zontes Malaysia mahu melancarkan model-model 155cc.