Suzuki GSX-S1000 2021 diperkenalkan dengan penampilan baharu yang kini lebih radikal dan agresif

Suzuki secara rasminya memperkenalkan jentera naked terbaharu Suzuki GSX-S1000 2021, yang kini tampil lebih radikal dan agresif berbanding versi terdahulu. Sekali imbas apa yang dapat dilihat ialah rekaan hadapan model tersebut kini lebih tajam, sementara lampu depan LED baharu jenis menegak pula kelihatan begitu futuristik dan tersendiri.

Suzuki GSX-S1000 2021 didatangkan dalam pilihan tiga warna menarik seperti Metallic Triton Blue, Glass Matt Mechanical Grey dan Glass Sparkle Black. Untuk pasaran UK, harga yang ditawarkan adalah sebanyak £10,999, bersamaan RM 62,703.67 mengikut kadar semasa. Ianya akan tiba di bilik pameran di UK secara rasmi mulai Jun 2021.

Beralih ke bahagian sistem penjana kuasa, Suzuki GSX-S1000 2021 dikuasakan enjin bersesaran 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) yang kini patuh piawaian emisi Euro 5, dan menghamburkan kuasa maksimum 152PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 106Nm @ 9,250rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan.

Bagi meningkatkan lagi tahap prestasi dan pengendaliannya, teknologi Suzuki Clutch Assist System (SCAS) telah digandingkan dengan sistem quickshifter dan auto-blipper. Selain itu ialah rangkaian elektronik Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dan traction control dengan lima mod dan ciri boleh dimatikan.

Melengkapkan lagi pakej elektronik tersebut ialah Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist. Di bahagian casis, ianya digandingkan dengan lengan ayun daripada GSX-R untuk prestasi dan pengendalian lebih sporty, di samping handlebar yang kini 23 mm lebih lebar dan 20 mm lebih dekat dengan penunggang untuk keselesaan lebih baik.

Sistem suspensi terdiri daripada fork depan upside-down KYB yang boleh dilaraskan sepenuhnya, sementara suspensi belakang juga boleh dilaraskan (preload and rebound damping adjustable rear shock). Brek cakera depan berkembar 310 mm kemudiannya dipadankan dengan kaliper monobloc Brembo untuk tahap keselamatan yang tertinggi.

Tayar depan dan belakang masing-masing bersaiz 120/70ZR17 dan 190/50ZR17, dan menyumbang kepada ketinggian pelana 810 mm. Suzuki GSX-S1000 2021 seterusnya dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk paparan panel meter LCD baharu dengan pelbagai maklumat. Berat keseluruhan jentera itu hanya 214 kg (kerb mass).