Yamaha Y16ZR 2021 kini di pasaran Malaysia, enjin 155cc VVA, transmisi 6-kelajuan, harga asas RM 10,888.00

Yamaha Y16ZR 2021 akhirnya dilancarkan dengan rasminya di pasaran Malaysia, pada tarikh 18hb. Mac 2021 (Khamis). Dengan pelancaran itu, Malaysia menjadi negara kedua yang menerima kehadiran model moped tersebut selepas pasaran Vietnam.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Y16ZR 2021 didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Phantom Grey, Racing Yellow dan Arrow Blue. Harga jualannya ditetapkan sebanyak RM 10,888.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Kelebihan yang ditawarkan oleh Yamaha Y16ZR berbanding model terdahulu Yamaha Y15ZR ialah ianya dilengkapi enjin 155cc dengan teknologi VVA, dan menghasilkan kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm.

Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Spesifikasi lain yang melengkapinya termasuklah tangki petrol 5.4 liter, sistem kunci pintar, panel meter digital LCD dan lampu depan dan belakang LED.

Yamaha Y16ZR turut dilengkapi ciri-ciri seperti tuas klac yang lebih pendek, brek cakera depan dengan kaliper dua piston, rekaan tempat duduk yang bergaya, soket pengecas 12V DC, suis pemati enjin, suis ‘passing light’ dan kerangka baharu yang serba ringan.

Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi fork depan jenis teleskopik, yang digandingkan dengan suspensi belakang monoshock dengan ciri ‘preload-adjustable’. Ukuran tayar depan dan belakangnya pula ialah 90/80-17M/C (46P) dan 120/70-17M/C (58P).

Tinggi tempat duduk Yamaha Y16ZR berada pada paras 795 mm, manakala beratnya berada pada angka 119 kg. Sama seperti model Yamaha Exciter 155 VVA di pasaran Vietnam, Yamaha Y16ZR juga masih belum dilengkapi dengan sistem brek ABS.

Sempena dengan pelancarannya, 5,000 unit pembelian pertama akan turut dihadiahkan cenderahati eksklusif percuma berupa beg kunci Y16ZR. Beg kunci itu juga boleh diukir dengan nama atau nombor pendaftaran di mana-mana cawangan Royal Selangor.

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), model terdahulu Yamaha Y15ZR V2 akan tetap diteruskan jualannya bersama-sama Yamaha Y16ZR. Berikut ialah ringkasan ciri-ciri utama Yamaha Y16ZR, serta paparan gambar-gambar menariknya, saksikan.

  • Enjin 155cc dengan VVA serba baru – Jantung penggerak paling berkuasa di kelasnya, enjin sejukan cecair 155cc serba baru, 4-lejang, 4-injap, SOHC dengan VVA.
  • Gearbox 6-kelajuan dengan pemetaan pencucuhan individu untuk setiap gear – Menampilkan pemetaan pencucuhan yang berbeza untuk setiap gear, menghasilkan daya dorong 17.7Hp @ 9,500 rpm dan tork tertinggi 14.4 Nm @ 8,000 rpm.
  • Klac ‘Assist & Slipper’ – Terhubung ke gearbox, sistem klac A & S memastikan penukaran gear yang lebih lancar dan mengurangkan tahap bebanan klac untuk menghasilkan perjalanan yang lebih selesa.
  • Penarik tuas klac lebih pendek – Kini 10 mm lebih pendek, ianya mampu memberikan cengkaman yang singkat dan lebih selesa ketika menukar gear.
  • Kerangka baru serba ringan – Dilengkapi dengan kolar tetulang berbentuk Y baharu serta pendakap enjin yang lebih tebal, pada ketebalan 4.5mm. Ia memastikan tunggangan anda lebih mantap dan prestasi kawalan selekoh yang optimum biarpun pada kelajuan tinggi.
  • Tangki bahan api 5.4 liter baru – Seiring dengan enjin yang cekap bahan api, Y16ZR mampu menawarkan jarak maksimum 256km dalam satu tangki penuh, berdasarkan pada gaya tunggangan anda.
  • Sistem kunci pintar – Enjin boleh dihidupkan dengan mudah hanya dengan memutar butang tanpa perlu memasukkan kunci. Sistem ini juga mempunyai fungsi ‘panggil-balik’ untuk mencari kedudukan motosikal. Dilengkapi ‘immobilizer’ untuk mencegah kecurian.
  • Lampu depan LED tinggi dan rendah berasingan – Terinspirasi dari sukan permotoran, lampu depan sinar rendah terletak di bahagian bar pemegang sementara sinar tinggi disatukan dengan lampu posisi, di bahagian bawah, memberikan penampilan bahagian hadapan sporty yang tiada bandingannya.
  • Meter digital LCD dengan dasar gelap – Panel unit digital LCD baharu yang memaparkan semua informasi seperti kelajuan, tahap rpm, kedudukan gear, penunjuk VVA dan lain-lain pada dasar yang gelap, memberikan kontras grafik yang jelas.
  • Tempat duduk jenis terpisah gaya baru – Rekaan pelana tempat duduk anti-gelincir yang ergonomik mengikut kontur duduk penunggang untuk tunggangan yang lebih selesa.
  • Soket kuasa 12V DC – Untuk memudahkan anda mengecas apa saja peralatan pintar anda, soket DC 12V dengan maksimum kapasiti 1.0A disediakan.
  • Suis pemberhentian enjin baharu – Anda boleh mematikan enjin segera dengan hanya menekan suis khusus yang digabungkan dengan suis utama, sekiranya berlaku kecemasan, demi keselamatan anda.
  • Lampu belakang LED baru – Tampil lebih bergaya, lebih ramping, lebih runcing dengan rekaan lampu belakang LED inspirasi daripada model YZF-R1, ia disatukan dengan sempurna pada kontur badan motosikal.
  • Brek cakera depan kaliper 2-pot baru – Angkup brek dua piston pada roda hadapan menawarkan kestabilan ketika membrek dengan saiz brek cakera hadapan yang berukuran 245mm.