Yamaha baru-baru ini memperkenalkan model skuter tiga roda Yamaha Tricity 125 bagi musim 2021 untuk pasaran domestik Jepun. Model tersebut didatangkan dalam varian standard dan juga dengan ABS, serta menerima pilihan warna terbaharu Yellow yang lebih menyerlah. Dua warna terdahulu Matte Gray dan White pula masih dikekalkan.
Yamaha Tricity 125 mempunyai dua roda unik di bahagian hadapan, yang mana ianya menggunakan teknologi yang dipanggil Yamaha sebagai Leaning Multi Wheel (LMW). Tampil dengan rekaan yang kompak, ringan dan mudah dikendalikan, skuter tiga roda tersebut menawarkan tahap kestabilan yang lebih baik berbanding skuter dua roda.
Yamaha Tricity 125 dikuasakan enjin Blue Core bersesaran 124cc (single cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, SOHC, 4-valves), lengkap dengan sistem VVA yang canggih dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik. Enjin yang cekap dan berprestasi itu menjana kuasa maksimum 12PS @ 7,500rpm dengan tork puncak 12Nm @ 7,250rpm.
Ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha Tricity 125 ini termasuklah tangki bahan api 7.2 liter, sistem brek UBS (Unified Brake System) untuk varian standard, lampu depan dan belakang LED, panel meter pelbagai fungsi dengan lampu ECO dan ruang storan barang-barang seluas 23.5 liter di bawah tempat duduk, lengkap dengan lampu LED.
Selain itu ianya juga dilengkapi tempat duduk yang selesa dengan ketinggian 765 mm, soket pengecas 12V DC dan lantai pemijak kaki jenis rata dengan ruang yang luas dan mencukupi untuk kemudahan masuk dan juga keluar. Beralih ke bahagian roda, tayar depannya berukuran 90/80-14, sementara tayar belakangnya berukuran 130/70-14.
Yamaha Tricity 125 mempunyai berat 159 kg untuk varian standard, dan 164 kg untuk varian ABS. Untuk pasaran Jepun, harga jualannya ialah 423,500 Yen (RM 15,969.80) untuk varian standard dan 462,000 Yen (RM 17,421.60) untuk varian ABS. Pengeluaran model tersebut dilakukan oleh kilang Thai Yamaha Motor Co., Ltd. di negara Thailand.
Galeri : Yamaha Tricity 125 2021 (Japan)
Galeri : Yamaha Tricity 125 ABS 2021 (Japan)