KTM 200 Duke 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 12,888.00

KTM Malaysia pada tarikh 27hb. Mac 2021 baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model naked terbaharu KTM 200 Duke 2021. Tampil dengan dua skim warna jingga dan putih, model tersebut kini ditawarkan pada harga asas sebanyak RM 12,888.00, sedikit tinggi berbanding harga asas RM 11,888.00 yang ditawarkan untuk model terdahulu.

Penampilan KTM 200 Duke 2021 kini adalah sama seperti mana model KTM 125 Duke, KTM 250 Duke dan KTM 390 Duke, dengan reka bentuk yang lebih tajam, agresif dan pastinya kelihatan lebih moden. Selain itu, model tersebut juga dilengkapi enjin yang lebih bersih apabila ianya kini telah mematuhi piawaian emisi Euro 5 yang lebih ketat.

KTM 200 Duke 2021 dikuasakan enjin 199.5cc (single-cylinder, DOCH, liquid-cooled) dengan sistem suntikan bahan api elektronik, dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah keluaran kuasa maksimumnya ialah 25.4hp (19kW) dengan daya tork maksimum 19.5Nm. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti penuh 13.4 liter.

Mempunyai perwatakan dan ciri tunggangan yang lincah dan mudah dikendalikan, fork depan WP APEX 43 mm jenis upside-down telah memainkan peranannya, di samping suspensi monoshock WP APEX dengan ciri pelarasan prabeban. Sistem brek cakera 300 mm (depan) dan 230 mm (belakang) pula lengkap dengan ABS Single Channel.

Untuk pelbagai maklumat berguna sewaktu tunggangan, KTM 200 Duke 2021 turut dilengkapi panel instrumen digital LCD, di samping lampu depan dengan ciri DRL yang  mempunyai nyalaan terang, rim aloi 17 inci dengan tayar depan selebar 110 mm dan belakang 150 mm, serta berat kering keseluruhannya dalam lingkungan hanya 140 kg.

Untuk peminat motosikal naked di pasaran Malaysia, kehadiran jentera terbaharu KTM 200 Duke 2021 ini pastinya memberikan lebih banyak pilihan. Tambahan pula model ini menawarkan pelbagai ciri-ciri premium, moden dan canggih, pada harga yang boleh dikatakan kekal berpatutan. Apa pendapat anda mengenai kehadiran model naked ini?

Artikel Popular Minggu Ini :