Kawasaki Ninja 300 BS6 2022 dilancarkan di pasaran India, harga bersamaan RM 17,630.01

India Kawasaki Motors Pvt. Ltd. (IKM) kelmarin dengan rasminya melancarkan model baharu Kawasaki Ninja 300 BS6 2022 untuk pasaran India. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Lime Green, Candy Lime Green dan Ebony. Harga jualan yang ditawarkan pula adalah sebanyak INR 318,000, bersamaan RM 17,630.01.

Kawasaki Ninja 300 BS6 model tahun 2022 merupakan kesinambungan kepada model Kawasaki Ninja 300 (2019 – 2021) yang ditawarkan di pasaran India sebelum ini. Antara kemaskini baharu untuk model berkenaan selain daripada pilihan warna baharu ialah enjin pada model sportbike tersebut kini telah mematuhi piawaian emisi BS6.

Walaupun bertaraf BS6, enjin bersesaran 296cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan transmisi enam kelajuan itu tetap menawarkan prestasi kuasa yang memuaskan pada tahap 39PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 26.1Nm @ 10,000rpm. Kawasaki Ninja 300 BS6 turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, tangki bahan api 17 liter, fork depan teleskopik 37 mm dan brek cakera depan 290 mm.

Untuk pasaran India, Kawasaki turut menawarkan model Ninja 400 yang dijual pada harga INR 499,000, bersamaan RM 27,671.37. Perbezaan harga yang ketara di antara kedua-dua model tersebut membolehkan para peminat Kawasaki di negara berkenaan membuat pilihan yang paling bersesuaian dengan bajet pembelian masing-masing.

Artikel Popular Minggu Ini :