Skuter kembara Honda X-ADV 2021 dilancarkan di pasaran Filipina, harga jualan bersamaan RM 69,131.03

Pada tarikh 08hb. Februari 2021, Honda telah mengumumkan pelancaran Honda X-ADV 2021 untuk pasaran Filipina. Model skuter berprestasi tinggi itu ditawarkan pada harga Php 830,000.00, bersamaan RM 69,131.03. Tiga pilihan warna yang boleh didapati ialah Graphite Black, Matte Beta Silver Metallic dan Grand Prix Red.

Honda X-ADV 2021 sebelum ini dilancarkan di pasaran Eropah dalam bulan November 2020 yang lepas. Model tersebut juga akan dilancarkan di pasaran Singapura tidak lama lagi. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini masih belum ada maklumat bilakah ianya akan dilancarkan, bagi menggantikan model terdahulu yang masih dijual ketika ini.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda X-ADV 2021 ialah ianya didatangkan reka bentuk facelift yang lebih sporty dan agresif, lampu depan LED baharu, kerangka yang lebih ringan, ruang barangan yang lebih luas, pengecas USB dan panel meter TFT 5.0 inci baharu dengan teknologi canggih Honda Smartphone Voice Control System.

Untuk musim 2021, Honda X-ADV kini dilengkapi enjin 745cc (liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve, SOHC, parallel 2-cylinder) yang patuh piawaian emisi Euro 5, dengan gandingan transmisi DCT (Dual Clutch Transmission) enam kelajuan. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 58.6PS @ 6,750rpm dengan tork maksimum 69Nm @ 4,750rpm.

Model tersebut turut dilengkapi sistem Throttle By Wire (TBW) dengan empat pilihan mod tunggangan seperti Rain, Standard, Gravel dan Sport, termasuklah tambahan mod User yang boleh disesuaikan (customisable). Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) pula beroperasi dengan lebih lancar melalui tiga tahap intervensi.

Honda X-ADV 2021 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 13.2 liter, ketinggian tempat duduk 820 mm, fork depan USD 41 mm, suspensi belakang monoshock dengan Pro-Link swingarm, brek depan dwi-cakera 296 mm, brek cakera belakang tunggal 240 mm, sistem ABS dua saluran dan sistem lampu kecemasan Emergency Stop Signal (ESS).