Honda CB650R 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 43,499.00

Selain daripada melancarkan model Honda CBR650R 2021, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. pada masa yang sama turut melancarkan model Honda CB650R 2021 terbaharu untuk pasaran Malaysia. Harga jualan asasnya kekal sama seperti model sebelumnya iaitu RM 43,499.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Honda CB650R 2021 turut menerima beberapa naik taraf terbaharu yang lebih menarik, antaranya termasuklah Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) USD 41 mm, panel meter digital LCD dengan paparan lebih jelas, soket pengecas USB jenis Type-C di bawah pelana, panel sisi baharu dan mudguard belakang keluli baharu.

Masih mengekalkan enjin berkapasiti 649cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC, inline-4 cylinder), jumlah kuasa yang dihamburkan kini adalah sebanyak 93.8hp (70kW) @ 12,000rpm dengan tork maksimum 63Nm @ 8,500rpm. Melalui kemaskini terbaharu yang dilakukan, enjin tersebut kini telah mematuhi piawaian emisi Euro 5 yang ketat.

Enjin tersebut seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan bantuan sistem Assist & Slipper Clutch, juga didatangkan bersama-sama teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC) untuk menguruskan daya tarikan roda belakang. Sistem HSTC tersebut boleh dimatikan (turned off) bergantung kepada pilihan penunggang.

Kemaskini terbaharu lain untuk model naked Honda CB650R 2021 ini turut melibatkan peningkatan sudut palang pemegang (handlebar), yang naik sebanyak 3° kepada 35°. Penyesuaian terbaharu itu membolehkan putaran handlebar pada laluan yang sempit, pada kelajuan perlahan dan ketika mengambil pusingan U menjadi lebih mudah.

Spesifikasi terdahulu yang masih dikekalkan untuk Honda CB650R 2021 ialah sistem lampu LED sepenuhnya, suspensi belakang monoshock (adjustable for 7-stage spring preload), sistem brek dwi cakera depan dengan kaliper empat piston (radial-mount) 310 mm, brek cakera belakang kaliper tunggal 240 mm dan sistem ABS dua saluran.

Di bahagian roda, jentera naked berprestasi itu dilengkapi rim aluminium sporty yang dipasangkan tayar depan dan belakang dalam saiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 15.4 liter, dengan berat motosikal keseluruhan (kerb weight) 202.5kg. Ketinggian tempat duduknya kekal pada 810 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB650R 2021 didatangkan dalam dua pilihan warna menarik iaitu Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic. Jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perbatuan. Tempahan kini sudah dibuka di semua cawangan pengedar Honda BigWing di seluruh negara.