Honda CBR650R 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 45,499.00

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. secara rasminya mengumumkan pelancaran model Honda CBR650R 2021 terbaharu, dengan harga jualan asas sama seperti model sebelumnya iaitu RM 45,499.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Untuk musim 2021, Honda CBR650R telah menerima beberapa naik taraf terbaharu, antaranya ialah dilengkapi fork depan upside-down Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm dan enjin yang telah mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Kemaskini lain yang diterima termasuklah peningkatan terhadap tahap penglihatan untuk panel meter digital LCD, reflektor lampu depan baharu, soket pengecas USB jenis Type-C di bawah tempat duduk, panel sisi baharu dan pemegang nombor plat baharu.

Honda CBR650R 2021 kekal dikuasakan enjin 649cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC inline-4 cylinder) dengan transmisi enam kelajuan, dan menghamburkan kuasa. maksimum pada paras 93.8hp @ 12,000rpm dengan tork puncak 63Nm @ 8,500rpm.

Model tersebut turut dilengkapi sistem lampu LED, sistem brek ABS dua saluran, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Assist & Slipper Clutch, tayar depan dan belakang dalam siri 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17, tangki bahan api 15.4 liter dan berat 206 kg.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CBR650R 2021 didatangkan dalam dua pilihan warna yang menarik iaitu Grand Prix Red dan Matt Gunpowder Black Metallic. Tempahan kini sudah dibuka di semua cawangan pengedar Honda BigWing di seluruh negara.