Model Neo Sports Cafe Honda CB150R 2021 dilancarkan di pasaran Kemboja, terima kemaskini warna baharu

Pada bulan Disember 2020 yang lalu, Honda telah melancarkan model Neo Sports Cafe Honda CB150R 2021 untuk pasaran Kemboja. Model tersebut kini hadir dalam dua pilihan warna dan grafik terbaharu yang lebih sporty iaitu Matte Black dan Racing Red.

Dilengkapi enjin bersesaran 149.16cc (single-cylinder, 4-valve, DOHC, liquid-cooled) dengan sistem PGM-FI dan padanan transmisi enam kelajuan, kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 16.3PS @ 9,500rpm dengan tork puncak 13.6Nm @ 8,000rpm.

Untuk prestasi tunggangan cemerlang, Honda CB150R menggunakan fork depan jenis terbalik 41 mm berwarna emas, bersama-sama suspensi belakang monoshock. Sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang melengkapkan ciri keselamatannya.

Honda CB150R 2021 turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu depan berbentuk bulat dengan gaya retro yang menawan, panel meter digital LCD dan tayar depan dan belakang yang masing-masing berukuran 110/70-17 dan 150/60-17.

Tangki bahan api Honda CB150R mempunyai kapasiti maksimum 8.5 liter, manakala ketinggian tempat duduknya berada pada paras 802 mm. Beratnya pula ialah 124 kg. Sangat menarik kalau model ini turut dilancarkan oleh BSH untuk pasaran Malaysia.