KTM 390 Duke 2021 dilancarkan di pasaran Eropah, kini patuh piawaian emisi Euro 5

Jentera naked KTM 390 Duke 2021 kini rasmi dilancarkan di pasaran Eropah, dengan dua pilihan skim warna terbaharu yang sporty dan mengekalkan gayanya yang agresif. Model tersebut juga kini dilengkapi enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5, termasuk naik taraf terkini sistem ekzos bagi mencapai tahap piawaian yang telah ditetapkan.

Spesifikasi lain masih sama seperti sebelumnya, antaranya dilengkapi enjin bersesaran 373cc (single-cylinder, 4-stroke, 4V / DOHC) dengan throttle body 46 mm, transmisi enam kelajuan, PASC Slipper Clutch, sistem Ride-by-Wire, termasuklah keluaran kuasa yang juga kekal sama iaitu 44hp @ 9,000rpm dengan tork puncak 37NM @ 7,000rpm.

Selain itu ialah suspensi depan USD WP Apex 43 mm, suspensi belakang monoshock WP Apex (preload), sistem brek BYBRE dengan cakera depan 320 mm (4-piston, radially mounted caliper) dan cakera belakang 230 mm (single piston, floating caliper), sistem ABS dual-channel dengan mod Supermoto ABS dan tangki petrol 13.4 liter.

Ciri-ciri standard lain yang melengkapi KTM 390 Duke 2021 ialah sistem lampu LED, panel meter digital TFT dengan paparan berwarna, tuas brek dan klac boleh laras, suis menu di sebelah kiri handlebar, tayar depan dan belakang dalam siri 110/70-R17 dan 150/60-R17, serta ketinggian tempat duduk 830 mm dan berat kering hanya 150 kg.