SYM Joymax Z+ 2021 diperkenalkan sebagai sebuah model skuter maxi terbaharu yang menggantikan model terdahulu SYM Joymax Z 2020. Antara perubahan terkini yang didatangkan untuk SYM Joymax Z+ ialah kehadiran lampu depan LED baharu, teknologi Traction Control System (TCS) dan port pengecas pantas Quick Charge 3.0.
Pilihan enjin yang ditawarkan pula kekal dalam tiga varian iaitu 124.9cc, 249.4cc dan 278.3cc. Kesemua enjin tersebut (1-cylinder, Liquid-cooled, 4-stroke, OHC, 4-valve, Euro 5) kemudiannya dipadankan transmisi automatik CVT. Bagi varian Joymax Z+ 300, kuasa yang dihasilkan mencapai 26PS @ 7,500rpm dengan tork 26.2Nm @ 6,750rpm.
Spesifikasi lain yang melengkapi SYM Joymax Z+ 2021 termasuklah lampu belakang LED, panel meter yang bergaya dan berinformasi, skrin penghadang angin boleh laras, ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua buah helmet bermuka penuh, serta turut dilengkapi lampu kecemasan (hazard light).
Beralih ke bahagian sistem suspensi, ianya terdiri daripada fork depan jenis teleskopik dan penyerap hentak belakang jenis berkembar. Sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang masing-masing berukuran 260 mm dan 240 mm, lengkap dengan sistem ABS untuk kedua-duanya. Kapasiti tangki bahan apinya pula ialah 12 liter.