KTM secara rasminya melancarkan model naked KTM 125 Duke 2021 terbaharu untuk pasaran India, dengan harga jualan sebanyak Rs. 1,50,010, bersamaan RM 8,265.21 mengikut kadar semasa. Model tersebut menggantikan KTM 125 Duke 2020 di pasaran negara tersebut yang sebelum ini masih lagi mengekalkan reka bentuk lama.
Dengan pelancarannya, KTM 125 Duke 2021 di pasaran India kini telah mempunyai gaya rekaan atau ‘design language’ yang sama seperti tiga model Duke yang lain iaitu KTM 200 Duke, KTM 250 Duke dan KTM 390 Duke. Penampilan terbaharu itu yang kini lebih moden dan agresif pastinya menggembirakan ramai peminat KTM di sana.
KTM 125 Duke 2021 dikuasakan enjin dalam sesaran 124.7cc (liquid-cooled, single-cylinder) dengan padanan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 14.5PS @ 9,250rpm dengan tork puncak 12Nm @ 8,000rpm. Dilengkapi kapasiti tangki bahan api 13.5 liter, beratnya berada pada paras 159 kg (wet weight).
Menawarkan ciri tunggangan berprestasi, KTM 125 Duke 2021 dilengkapi fork depan WP 43 mm jenis terbalik, manakala suspensi belakang monoshock WP hadir dengan ciri pelarasan. Untuk pemberhentian maksimum ketika diperlukan, ianya ditugaskan kepada brek cakera depan 300 mm dan cakera belakang 230 mm, dengan ABS.
Untuk pasaran India, KTM 125 Duke 2021 didatangkan dua pilihan warna yang dikenali dengan nama Electronic Orange dan Ceramic White. Setakat ini KTM Malaysia tidak menawarkan model KTM 125 Duke, mungkin kerana syarikat tersebut merasakan dua model yang ditawarkan iaitu KTM 200 Duke dan KTM 250 Duke sudah memadai.
Sumber : MotorBeam.com