Yamaha NMAX 125 2021 dan Yamaha NMAX 155 2021 dilancarkan di pasaran Eropah

Yamaha Motor Europe pada tarikh 24hb. November 2020 baru-baru ini secara rasminya melancarkan model skuter terbaharu Yamaha NMAX 125 2021 dan Yamaha NMAX 155 2021 untuk pasaran Eropah. Model tersebut dalam versi enjin 155cc sebelum ini telah pun dilancarkan di pasaran negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Yamaha NMAX 2021 yang ditawarkan di pasaran Eropah sama ada dalam versi 125cc atau 155cc, hanya mempunyai perbezaan dari segi jumlah kapasiti enjin dan keluaran kuasa yang dihasilkan. Spesifikasi lain kekal sama, antaranya seperti kerangka baharu, reka bentuk facelift yang sporty dan elegan, serta kapasiti tangki bahan api 7.1 liter.

Yamaha NMAX 2021 dilengkapi enjin Blue Core yang canggih dan memenuhi piawaian emisi Euro 5, serta dilengkapi ciri-ciri seperti empat injap, SOHC, sistem penyejukan cecair dan turut dilengkapi teknologi Variable Valve Actuation (VVA). Bagi versi 125cc, kuasa maksimumnya ialah 12.2PS @ 8,000rpm dengan tork 11.2Nm @ 6,000rpm.

Dari segi gaya dan penampilan, Yamaha NMAX 2021 tampil premium dengan lampu depan LED baharu (new twin-eye style LED headlights) dan lampu posisi terbina dalam yang memberikan pandangan lebih dinamik dan sofistikated. Rekaan baharu bahagian depannya juga dikatakan menawarkan lebih perlindungan cuaca kepada penunggang.

Pelbagai teknologi terkini dan canggih melengkapi Yamaha NMAX 2021, antaranya termasuklah Traction Control System, teknologi enjin Start & Stop, Communication Control Unit (CCU) yang boleh dipadankan dengan aplikasi MyRide melalui sambungan Bluetooth, panel instrumen digital LCD yang berhubungan sepenuhnya dengan CCU, sistem penghidup tanpa kunci Smart Key dan soket 12V untuk mengecas peranti.

Yamaha NMAX 2021 turut memiliki ruang storan yang luas di bawah tempat duduk untuk muatan helmet dan barangan peribadi. Sistem brek cakera 230 mm di bahagian depan dan 230 mm di bahagian belakang dilengkapi dengan ABS sebagai ciri standard di kedua-dua bahagian roda, untuk cengkaman yang lebih baik sewaktu membrek.

Yamaha NMAX 125 2021 akan tiba di setiap pengedar Yamaha di Eropah mulai bulan Februari 2021, manakala Yamaha NMAX 155 2021 hanya akan tiba mulai bulan Ogos 2021. Kedua-dua model skuter berkenaan boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik, dikenali dengan nama Anodized Red, Phantom Blue dan Power Grey.

Galeri : Yamaha NMAX 125 2021

Galeri : Yamaha NMAX 155 2021


Artikel Popular Minggu Ini :

Dayang ADV150 diilhamkan daripada model Honda ADV150, dilengkapi enjin lebih berkuasa dan kamera depan belakang

Pelancaran rasmi Honda ADV150 2021 dijangka pada bulan Februari depan, harga asas sekitar RM 14k

Penampilan baharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 apabila dipasangkan lampu depan (headlamp) Yamaha Exciter 150