GPX Demon GR200R Race Da Corsa 2020 dilancarkan untuk pasaran Thailand, edisi terhad 560 unit

Salah sebuah model motosikal keluaran GPX yang mempunyai daya tarikan tersendiri ialah GPX Demon GR200R 2020, dilancarkan di pasaran Thailand dalam bulan Jun yang lepas. Untuk pasaran Malaysia pula, pelancarannya dikatakan bakal berlangsung pada bulan November 2020, namun sehingga kini masih belum ada khabar berita.

Bagaimanapun untuk peminat model tersebut di pasaran Thailand kelmarin, mereka kini ditawarkan versi istimewa GPX Demon GR200R Race Da Corsa 2020, dikeluarkan dalam edisi terhad hanya 560 unit sahaja. Harga yang ditawarkan adalah sebanyak 81,500 THB sahaja, bersamaan RM 10,987.95 mengikut kadar tukaran semasa.

GPX Demon GR200R Race Da Corsa didatangkan dalam dua pilihan skim warna yang lebih menarik berbanding versi standard iaitu Rosso Red dan Carbon Black, bersama-sama pelekat rekaan material bertaraf premium kevlar. Untuk cengkaman yang lebih baik pula, ianya kini dipasangkan tayar berprestasi tinggi Pirelli Diablo Rosso Sport.

Enjin yang memberikan kuasa kepada GPX Demon GR200R Race Da Corsa ini masih sama seperti model standard, 198cc (1-cylinder, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dengan transmisi enam kelajuan dan tork maksimum 17.2Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem penyejukan jenis cecair untuk memastikan suhunya sentiasa stabil.

Kerangka trellis yang kukuh, sistem lampu LED, panel instrumen digital, fork depan upside-down, sistem suspensi belakang monoshock YSS yang boleh dilaraskan dan berfungsi dengan sistem Multi-link, brek cakera depan dan belakang dan tangki bahan api 11 liter merupakan antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model berkenaan.

GPX Demon GR200R Race Da Corsa 2020 mempunyai berat 155 kg (net weight) dan ketinggian tempat duduknya berada pada paras 815 mm. Keseluruhannya, penampilan baharu versi istimewa edisi terhad Race Da Corsa ini sememangnya sporty dan agresif. Untuk pasaran Malaysia, bilakah agaknya GPX Demon GR200R ini akan dilancarkan?


Artikel Popular Minggu Ini :

Dayang ADV150 diilhamkan daripada model Honda ADV150, dilengkapi enjin lebih berkuasa dan kamera depan belakang

Pelancaran rasmi Honda ADV150 2021 dijangka pada bulan Februari depan, harga asas sekitar RM 14k

Penampilan baharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 apabila dipasangkan lampu depan (headlamp) Yamaha Exciter 150