BMW G 310 R 2020 diperkenalkan untuk pasaran global, terima kemaskini baharu dan enjin Euro 5

Dalam bulan Oktober 2020 yang lepas, BMW Motorrad telah memperkenalkan model terbaharu BMW G 310 R 2020 untuk pasaran India. Untuk pasaran global, model yang sama telah diperkenalkan, yang mana ianya dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri baharu termasuk enjin yang lebih bersih yang kini memenuhi piawaian emisi Euro 5.

Dari segi rekaan luaran, BMW G 310 R didatangkan dengan beberapa perubahan yang minima berbanding generasi sebelumnya, namun telah berjaya menjadikan penampilan terbaharunya lebih segar dan sporty. Tiga pilihan warna yang ditawarkan ialah Polar White, Cosmic Black dan Sport Style dengan rim roda dan rangka berwarna merah.

Sistem penjana kuasa BMW G 310 R 2020 masih mengekalkan enjin bersesaran 313cc (liquid-cooled single-cylinder engine with four valves, two overhead camshafts and electronic fuel injection), seterusnya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan menghasilkan kuasa maksimum 34hp @ 9,500rpm dengan tork 28Nm @ 7,500rpm.

Menurut BMW Motorrad, enjin tersebut kini dilengkapi teknologi “electronic throttle grip” (electromotive throttle controller) yang menawarkan maklumbalas pendikit yang lebih sensitif. Peningkatan kelajuan melahu enjin secara automatik juga akan menghalang kemungkinan enjin daripada mati secara tiba-tiba. Lebih dari itu ianya juga dilengkapi sistem slipper clutch yang diberikan nama “self-boosting anti-hopping clutch”.

BMW G 310 R kini didatangkan dengan sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk lampu depan LED untuk pencahayaan yang lebih terang pada waktu malam. Tiga fungsi lampu pada lampu depan iaitu high beam, low beam dan daytime driving light boleh dioperasikan dengan mudah menggunakan butang kawalan di sebelah kiri handlebar.

Untuk lebih kemudahan, tuil klac dan brek kini mempunyai ciri pelarasan empat tahap, memberikan manfaat kepada penunggang terutamanya yang mempunyai tangan lebih kecil. Menyentuh aspek kelajuan, BMW G 310 R 2020 terbaharu ini boleh memecut sehingga kelajuan 143 km/j, sudah mencukupi untuk sesebuah roadster sepertinya.

Untuk makluman, BMW G 310 R versi terdahulu ketika ini masih ditawarkan di pasaran Malaysia, pada harga asas tanpa insuran sebanyak RM 27,500.00. Bagi versi terbaharu yang mungkin akan dilancarkan pada tahun depan, harga yang akan ditawarkan untuk model tersebut dijangka masih dalam lingkungan yang sama dan kekal berpatutan.