BMW G 310 R 2020 BS6 dilancarkan di pasaran India, harga bermula dari RM 13,868.33

BMW Motorrad baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model terbaharu BMW G 310 R 2020 untuk pasaran negara India. Model roadster tersebut kini dilengkapi enjin bertaraf BS6 dan masih kekal dengan kapasiti 313cc (water-cooled, single-cylinder 4-stroke engine, four valves, two overhead camshafts and wet sump lubrication).

Untuk pasaran India, harga yang ditawarkan untuk BMW G 310 R terbaharu ini boleh dikatakan sangat berpatutan iaitu bermula dari 2,45,000 Rupee sahaja, bersamaan RM 13,868.33 mengikut kadar semasa. Sebagai perbandingan, harga BMW G 310 R 2019 di pasaran Malaysia adalah sebanyak RM 27,500.00, perbezaan yang sangat ketara.

Lebih menarik lagi, model tersebut turut tampil lebih moden dan canggih dengan ciri-ciri baharu seperti sistem lampu LED sepenuhnya, lampu DRL LED jenis melintang yang bergaya, sistem Ride by Wire dan tuil klac dan brek dengan ciri boleh laras. Tiga pilihan warna terbaharu yang sporty pula ialah Style Sport, Cosmic Black dan Polar White.

Beralih ke bahagian enjin, BMW G 310 R menawarkan kuasa maksimum 34PS @  9,250rpm dengan tork puncak 28Nm @ 7,500rpm. Enjin bertenaga itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan yang lancar dengan tambahan sistem slipper clutch, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 143 km/j.

Untuk keselesaan dan pengendalian yang cemerlang dan stabil, ianya dilengkapi fork depan jenis upside down 41 mm dan suspensi belakang monoshock (spring pre-load adjustable) dengan lengan ayun aluminium berkualiti tinggi. Tayar depan dan belakang berukuran 110/70 R17 dan 150/60 R17 turut memainkan peranan yang penting.

Seterusnya aspek keselamatan ditugaskan kepada brek cakera depan tunggal (diameter 300 mm, 4-piston fixed caliper) dengan brek cakera belakang (single disc, diameter 240 mm, single-piston floating caliper), yang menawarkan pemberhentian yang lebih cekap dan selamat melalui pemasangan teknologi BMW Motorrad ABS.

BMW G 310 R 2020 terbaharu turut hadir dengan panel instrumen digital pelbagai fungsi, ketinggian tempat duduk 785 mm, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 11 liter dan berat 164 kg. Untuk pasaran Malaysia, belum ada maklumat bilakah model ini akan dilancarkan. Yang pasti harganya tidak akan sama seperti di pasaran India.

(Visited 2,669 times, 1 visits today)