Mungkin ramai yang tidak pernah melihat model skuter Suzuki Impulse 125 FI, malah tidak menghairankan jika namanya pun tidak pernah didengari. Ini kerana model tersebut dilancarkan secara eksklusif untuk pasaran Vietnam, sejak tahun 2014 yang lalu. Juga bermakna model tersebut tidak dijual di mana-mana pasaran negara lain.
Ketika ini Suzuki Impulse 125 FI masih di jual di pasaran Vietnam, dan boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Matte Black Gray, Blue Red dan White Brown Silver. Enjinnya berkapasiti 124cc dengan sistem sejukan udara dan suntikan bahan api elektronik, menghasilkan kuasa 9.2hp @ 8,000rpm dan tork 9.2Nm @ 6,500rpm. Enjin empat lejang itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi jenis automatik.
Sistem suspensi Suzuki Impulse 125 FI terdiri daripada fork depan jenis teleskopik, yang digandingkan dengan suspensi belakang jenis berkembar. Untuk pemberhentian yang lebih selamat, ianya dilengkapi sistem brek depan jenis cakera, manakala di bahagian belakangnya ialah sistem brek jenis dram. Seterusnya rim roda yang sporty dipadankan tayar dalam siri 70/90-16 (depan) dan 80/90-16 (belakang).
Dengan kapasiti tangki bahan api maksimum 5.0 liter dan berat kering hanya 114 kg, model skuter berkenaan dikatakan mampu menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh hasil daripada prestasi enjin yang menjimatkan petrol. Untuk lebih kemudahan, juga tersedia ruang kompatmen di bahagian depan dan tengah, di samping ruang simpanan barang-barang di bawah tempat duduk dengan keluasan 18 liter.
Suzuki Impulse 125 FI ditawarkan pada harga 31,990,000 VND, bersamaan RM 5,732.39 mengikut kadar tukaran semasa. Model skuter lain yang turut dijual di pasaran Vietnam ketika ini ialah Suzuki Adress 110 FI, pada harga sebanyak 28,790,000 VND (Matte Black, Record Gold) dan 28,290,000 VND (Black Blue, Black Red).