QJ Motor secara rasminya memperkenalkan barisan motosikal terbaharu untuk pasaran negara China pada bulan September yang lepas, dengan salah satu daripadanya ialah QJ SRV500 2020. Model bergaya cruiser itu tampil sporty dan menawan, dijual pada harga sebanyak CNY 36,999, bersamaan RM 22,631.93 mengikut kadar semasa.
Berdasarkan laporan terdahulu, model-model keluaran QJ Motor memberikan petunjuk awal mengenai model-model terbaharu keluaran Benelli, yang bakal dilancarkan untuk pasaran global bagi musim 2021. Bagi model QJ SRV500, tidak dapat dipastikan sama ada ianya bakal menjadi varian terbaharu Benelli di samping model Benelli 502C.
Aspek teknikal memperlihatkan QJ SRV500 dikuasakan enjin bersesaran 500cc (in-line four-stroke twin cylinder, 8-valve, liquid cooled) dengan sistem EFI, yang kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimumnya mencapai 48hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 47Nm @ 5,500rpm.
QJ SRV500 dilengkapi sistem lampu LED, panel meter digital bersama-sama takometer analog, fork depan daripada KYB, suspensi belakang boleh laras, sistem brek cakera dengan ABS, tangki bahan api 14 liter dan berat keseluruhan 198 kg. Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 700 mm dengan ciri tunggangan yang selesa dan stabil.
Untuk pengendalian yang cemerlang, QJ SRV500 didatangkan tayar depan dalam ukuran 120/70-R18 dan tayar belakang berukuran 160/60-R17. Kelajuan maksimum motosikal cruiser tersebut dikatakan mencapai angka 160 km/j. Sama seperti model-model keluaran QJ Motor yang lain, QJ SRV500 kekal eksklusif untuk pasaran China.