Yamaha MT-01 diperkenalkan pada tahun 2005, dilengkapi enjin bersesaran 1,670cc V-twin

Model-model motosikal dalam siri Yamaha MT sememangnya diakui cukup terkenal di pasaran seluruh dunia. Untuk anda yang mungkin belum tahu, MT bermaksud “Master of Torque”. Model pertama yang diperkenalkan dalam siri Yamaha MT ialah Yamaha MT-01, dilancarkan pada tahun 2005 dan berada di pasaran sehingga tahun 2012.

Menurut maklumat dari Wikipedia, Yamaha MT-01 dijual di pasaran Australia, New Zealand, Eropah, India, Jepun dan sebahagian pasaran di rantau Amerika Utara. Model naked tersebut bagaimanapun tidak dijual di pasaran Amerika Syarikat kerana ianya dikatakan mempunyai pasaran yang kecil untuk motosikal dalam kategori seperti itu.

Yamaha MT-01 dikuasakan enjin bersesaran 1,670cc (air-cooled, 4-stroke, 4-valve OHV V-twin) dengan transmisi lima kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 88.9hp @ 4,750rpm dengan tork maksimum 150.3Nm @ 3,750rpm. Ianya dilengkapi tangki bahan api 15 liter, berat basah 265 kg dan mempunyai kelajuan maksimum 210 km/j.

Untuk peningkatan prestasi berbanding model standard, Yamaha menawarkan tiga tahap talaan untuk Yamaha MT-01 melalui kerjasama dengan syarikat Akrapovič, yang dinamakan Stage 1, Stage 2 dan Stage 3. Pada tahun 2009, Yamaha MT-01 SP diperkenalkan dengan suspensi Öhlins, tayar Pirelli Diablo Rosso dan skim warna khas.

(Visited 3,213 times, 1 visits today)