Kawasaki Ninja KRR ZX150 model tahun 2008 – 2014 di pasaran Malaysia

Di pasaran Malaysia pada suatu ketika dahulu, Kawasaki Ninja KRR ZX150 serba baharu diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2008. Model sport bike full fairing berprestasi itu hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Merah, Biru dan Hitam untuk versi Standard, manakala versi Special Edition didatangkan dalam skim warna Hijau.

Menurut maklumat yang diperolehi daripada laman sesawang Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd., jualan Ninja KRR ZX150 di pasaran tempatan berakhir pada tahun 2014. Namun berdasarkan pemerhatian ketika itu, stok untuk model berkenaan masih ada di pasaran dalam tempoh agak lama selepas pengeluarannya ditamatkan.

Kawasaki Ninja KRR ZX150 tampil dengan reka bentuk sporty, dikuasakan enjin dua lejang bersesaran 148cc dengan satu silinder tunggal dan dilengkapi sistem penyejukan cecair. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Berat kering Ninja KRR ZX150 ialah 124.5 kg dan mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti 11.5 liter.

Berdasarkan sumber yang diperolehi dari internet, harga untuk Kawasaki Ninja KRR ZX150 pada tahun 2009 berada dalam lingkungan RM 9,600.00 OTR. Pada tahun 2015, Kawasaki melancarkan model Ninja 250SL, secara tidak langsung menandakan tamatnya era motosikal dua lejang keluaran Kawasaki untuk pasaran Malaysia.