Modenas Ninja 250 SE ABS – bilakah akan dilancarkan?

Dalam bulan Februari 2020 yang lepas, Modenas telah memperkenalkan salah sebuah model terbaharu keluarannya yang bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan iaitu Modenas Ninja 250 SE ABS. Model tersebut sebenarnya merupakan penjenamaan semula daripada model sport bike popular Kawasaki Ninja 250 SE ABS.

Berdasarkan maklumat awal dari Modenas, model berkenaan akan dilancarkan di pasaran Malaysia bermula pada separuh kedua tahun 2020 ini. Modenas juga memberi jaminan bahawa model yang dipasang di kilang mereka di Gurun, Kedah itu akan mengekalkan spesifikasi dan kualiti sama seperti mana yang ditawarkan oleh Kawasaki.

Modenas Ninja 250 SE ABS juga dikatakan hanya mengalami perubahan di bahagian logo sahaja melalui penggunaan logo Modenas bagi menggantikan logo asal Kawasaki. Apa yang menariknya ialah harganya nanti dikatakan lebih rendah berbanding harga jualan semasa Kawasaki Ninja 250 yang ditawarkan sekitar RM 23k pada ketika ini.

Antara perincian spesifikasi Modenas Ninja 250 SE ABS ini ialah ianya merupakan model keluaran tahun 2020 dengan enjin bertaraf Euro 4, tampil dengan warna Metallic Spark Black / Metallic Matte Graphite Gray. Warna tersebut sama seperti salah satu pilihan warna pada model Kawasaki Ninja 250 2020 yang dijual di pasaran Jepun.

Aspek prestasi memperlihatkan Modenas Ninja 250 SE ABS dikuasakan enjin dengan kapasiti 249cc dua silinder DOHC dengan sistem sejukan cecair, yang kemudiannya menghasilkan kuasa maksimum 37PS @ 12,500rpm dengan tork maksimum 23Nm @ 10,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan yang lancar.

Modenas Ninja 250 SE ABS dilengkapi sistem brek cakera, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter, manakala beratnya mencapai angka 167 kg (curb mass). Apabila dilancarkan nanti, ianya akan bersaing dengan model-model sekelasnya seperti Yamaha YZF-R25, Honda CBR250RR dan termasuklah model CFMOTO 250SR.

Bagaimanapun sejak beberapa bulan yang lepas, berita mengenai pelancaran Modenas Ninja 250 SE ABS untuk pasaran Malaysia ini boleh dikatakan tidak lagi kedengaran. Tidak dapat dipastikan sama ada projek istimewa ini akan menjadi kenyataan, atau pun ianya akan menerima nasib sama seperti mana projek Super Moped Modenas.

Tambahan pula ketika ini peminat motosikal tempatan pastinya lebih teruja sekiranya model terbaharu yang bakal dilancarkan itu ialah Kawasaki Ninja ZX-25R dengan enjin 250cc empat silinder. Sekiranya Modenas akan tetap melancarkan Ninja 250 SE ABS, risikonya ialah penerimaan pasaran yang dikhuatiri kurang memberangsangkan.

(Visited 4,792 times, 2 visits today)