Honda CBR250RR SP 2021 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, Honda BigWing buka tempahan awal

Mungkin ada di antara anda yang terlepas maklumat sebelum ini, atau masih ragu-ragu mengenai kemasukan model Honda CBR250RR SP 2021 ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Untuk makluman, pada September yang lepas Honda BigWing Petaling Jaya telah pun mengesahkan bahawa model tersebut bakal dilancarkan pada November ini.

Pada masa yang sama Honda BigWing Setapak juga telah mengumumkan perkara yang serupa, termasuk telah membuka tempahan untuk model yang dinanti-nantikan itu. Harga yang bakal ditawarkan pula dikatakan di bawah RM 30k, mungkin dirasakan agak tinggi namun dengan spesifikasi yang ditawarkan, pastinya berbaloi untuk dimiliki.

Kita imbas kembali spesifikasi model sport bike tersebut, yang mana ianya dilengkapi enjin 249cc dua silinder dengan jumlah kuasa maksimum 41PS @ 13,000rpm dan tork maksimum 25Nm @ 11,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan, termasuk adanya bantuan daripada sistem Assist & Slipper Clutch dan Quick Shifter.

Honda CBR250RR SP 2021 juga dilengkapi sistem pendikit Throttle-By-Wire yang telah dioptimumkan ketepatan maklumbalasnya, sementara suspensi depan telah dinaik taraf semula untuk pengendalian yang lebih baik untuk tunggangan di kawasan bandar mahu pun di litar. Kelajuan maksimumnya pula dikatakan mampu mencapai 180 km/j.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya adalah seperti Riding Mode (Comfort, Sport, Sport+), panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan upside-down dan sistem brek cakera dengan ABS dua saluran. Setelah lama menanti, inilah masanya untuk anda membuat tempahan di cawangan Honda BigWing berdekatan.

(Visited 7,470 times, 3 visits today)