Suzuki Raider R150 2021 terima kemaskini warna baharu di pasaran Vietnam, aspek teknikal kekal sama

Sementara pasaran Malaysia masih menantikan ketibaan model terbaharu Suzuki Belang R150 FI, pasaran Vietnam hari ini mencuri tumpuan lebih awal dengan pelancaran Suzuki Raider R150 model tahun 2021. Model tersebut kini tampil dengan tiga pilihan warna dan grafik baharu yang ternyata lebih segar dan sporty.

Bagi model berwarna Blue/Black/Orange, harga yang ditawarkan adalah sebanyak 49,990,000 VND (bersamaan RM 8,973.58 mengikut kadar semasa), manakala bagi model berwarna Black/Red dan Matte Blue/Black, harga yang ditawarkan sedikit rendah iaitu 49,190,000 VND (bersamaan RM 8,826.43 mengikut kadar semasa).

Selain tiga pilihan warna baharu itu, Suzuki Raider R150 2021 untuk pasaran Vietnam juga masih menawarkan lima pilihan warna terdahulu seperti mana paparan dalam galeri di bawah. Berdasarkan maklumat di dalam siaran akhbar yang diterbitkan, spesifikasi teknikal kekal sama seperti mana model sebelumnya bagi musim 2020.

Suzuki Raider R150 2021 di pasaran Vietnam dikuasakan enjin bersesaran 147.3cc (DOHC, empat injap, sistem suntikan bahan api elektronik Fuel Injection) dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 18.2hp (13.6kW) @ 10,000rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 8,500rpm.

Kepada peminat jentera ini di pasaran Malaysia, nantikan pelancarannya tidak lama lagi. Setakat ini Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. telah mengesahkan bahawa model ini akan dibawa masuk ke pasaran tempatan, dan mungkin akan dikenali dengan nama ikonik Suzuki Belang R150 FI. Bagaimanapun tarikh pelancaran rasmi belum diumumkan.

2021 Suzuki Raider R150 (Vietnam)

2020 Suzuki Raider R150 (Vietnam)