Dilema sistem ekzos Honda Winner X, masalah sama pernah dihadapi oleh Modenas Kriss 110

Sejak beberapa hari yang lepas, timbul isu berkenaan sistem ekzos Honda Winner X di pasaran Vietnam yang dikatakan mempunyai masalah dari segi rekaan. Isu tersebut menjadi agak besar dan dikongsikan dengan meluas di dalam laman internet di negara tersebut, sehinggakan menjadi dilema kepada pemilik dan juga bakal pembelinya.

Isunya ialah berkenaan muncung ekzos Honda Winner X yang menghala ke atas, dan ‘tembakan’ asap daripada sistem ekzos tersebut dikatakan menghala tepat ke muka penunggang motosikal lain yang berada di belakang. Situasi memalukan itu kebiasaannya terjadi ketika menunggu lampu isyarat merah bertukar menjadi hijau.

Ianya menimbulkan rasa tidak selesa bukan saja untuk pengguna motosikal yang lain, malah pemilik Honda Winner X sendiri juga merasa serba salah. Berdasarkan laporan dari Vietnam, masalah tersebut telah diadukan kepada pihak pengeluar Honda Vietnam, namun malangnya tiada sebarang tindakan serius daripada syarikat tersebut.

Ubahsuai sendiri yang dilakukan oleh pengguna Honda Winner X

Baru-baru ini dalam bulan Ogos 2020, Honda Winner X versi kemaskini terbaharu telah dilancarkan untuk pasaran Vietnam, namun masalah sistem ekzos tersebut masih belum diperbetulkan. Entah di mana silapnya, pihak Honda Vietnam seolah-olah tidak mengambil berat berkenaan aduan dan kritikan daripada pengguna motosikal di sana.

Natijahnya, penjualan Honda Winner X di pasaran Vietnam ketika ini dikatakan mengalami penurunan yang ketara sejak bulan September 2020 yang lalu, sehinggakan jumlah diskaun yang besar terpaksa diberikan. Terdapat juga beberapa aduan lain, namun tidak dapat dipastikan sejauh manakah kesannya terhadap minat pengguna.

Masalah yang dihadapi oleh sistem ekzos Honda Winner X itu sebenarnya sama sahaja seperti yang dihadapi oleh Modenas Kriss 110 generasi pertama. Muncung ekzos Kriss yang menghala ke atas seringkali ‘menembak’ muka penunggang motosikal lain di belakang, namun mujur ianya tidak pernah menjadi isu di negara kita Malaysia.

Sumber : Xefun.vn & Tinmoi.vn

(Visited 35,090 times, 1 visits today)