BMW M 1000 RR 2021 diperkenalkan, menawarkan prestasi tertinggi untuk litar dan jalan raya

BMW Motorrad memperkenalkan model terbaharu BMW M 1000 RR, atau singkatannya ialah BMW M RR. Diasaskan daripada model S 1000 RR, ianya menawarkan kuasa maksimum 212hp @ 14,500rpm dengan tork puncak 113Nm @ 11,000rpm. Kemasan warna putih, biru dan merah memberi isyarat jelas genetik pelumbaan BMW M RR.

Sebagai sebuah jentera berprestasi tinggi, BMW M RR telah menerima talaan suspensi dan aerodinamik yang direka untuk prestasi maksimum di litar. Keluaran kuasanya lebih tinggi berbanding S 1000 RR dalam julat 6,000rpm sehingga 15,100rpm, semestinya relevan untuk prestasi di litar tanpa mengurangkan kualiti untuk tunggangan harian.

Melalui penggunaan winglet yang diperbuat daripada material gentian karbon (clear-coat carbon), BMW M RR berjaya memastikan tayar sentiasa melekat di permukaan jalan, terutamanya ketika memulakan pecutan. Winglet juga memberikan kesan ketara dalam meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh dan ketika membrek.

BMW M RR merupakan motosikal BMW pertama yang menggunakan brek M, yang dibangunkan melalui pengalaman BMW Motorrad dalam perlumbaan Superbike World Championship. Dengan rim karbon M, menjadikannya model yang dilengkapi pelbagai komponen berteknologi tinggi untuk prestasi maksimum di litar dan di jalan raya.

Sama seperti model S 1000 RR, kluster instrumen BMW M RR mempunyai asas rekaan yang serupa. Kod pengaktifan yang merupakan sebahagian daripada peralatan pilihan yang ditawarkan melalui pakej M competition, membolehkan penyediaan bahan data yang komprehensif untuk kegunaan M GPS laptrigger dan M GPS data logger (Original BMW Motorrad Accessories) melalui antaramuka OBD kluster instrumen tersebut.

Pakej M competetition ditawarkan untuk mereka yang masih tidak berpuas hati dengan kelengkapan standard BMW M RR. Ianya merangkumi pakej alat ganti M, pakej karbon M serta lengan ayun perak yang 220 gram lebih ringan, geseren dioptimumkan, dan juga termasuklah rantai M Endurance bersalut DLC yang bebas penyelenggaraan.

BMW M RR turut dilengkapi sistem ekzos yang ringan buatan titanium, pilihan mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic, Race, Race Pro1-3), pelbagai sistem elektronik seperti Dynamic Traction Control (DTC), Gear Shift Assistant Pro, Launch Control, Pit-Lane-Limiter, Hill Start Control Pro, di samping pilihan aksesori yang komprehensif.