PT Astra Honda Motor (AHM) hari ini memperkenalkan tiga pilihan warna baharu untuk model skuter kembara Honda ADV150 2021 di pasaran Indonesia. Bagi varian ABS, pilihan warna terbaharu yang diperkenalkan itu ialah Tough Matte Black Gold dan Tough White Gold, bersama-sama emblem 3D serta rim roda berwarna Gold yang mewah.
Warna terdahulu Advance Red bagi varian ABS juga mendapat tambahan emblem 3D. Bagi varian CBS, ianya didatangkan pilihan warna baharu Advance White Black yang hadir bersama-sama stripe rekaan baharu, dan turut disematkan emblem 3D. Tiga pilihan warna terdahulu Matte Black, Tough Red dan Matte Brown masih dikekalkan.
Honda ADV150 dikuasakan enjin eSP (Enhanced Smart Power) dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, yang menghasilkan kuasa maksimum 14.5PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 6,500rpm. Enjin yang responsif itu dikatakan mampu menempuh jarak perjalanan sehingga 373 km dengan sekali isian penuh bahan api.
Untuk keselesaan penunggang, model tersebut dibekalkan cermin penghadang angin dengan ciri dua langkah pelarasan yang mudah, selain dilengkapi panel meter digital sepenuhnya dengan saiz skrin yang besar yang menampilkan pelbagai informasi. Honda ADV150 juga mempunyai ruang penyimpanan yang besar sehingga 28 liter.
Untuk ciri keselamatan yang lebih baik, skuter tersebut seterusnya didatangkan sistem Honda Smart Key dan sistem penggera. Untuk lebih kemudahan, ianya dilengkapi power charger pada console box depan. Sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu Daytime Running Light (DRL) menjadikan penampilannya lebih futuristik.
Honda ADV150 dilengkapi dengan penggunaan tapered handle bar dan tayar semi dual purpose berukuran besar 110/80-14 (depan) serta 130/70-13 (belakang), memberikan kesan yang gagah dan tampil berbeza. Pada bahagian belakang, twin subtank rear suspension memberikan kestabilan yang optimum sewaktu ianya ditunggang.
Sistem lampu ESS (Emergency Stop Signal) yang dibekalkan untuk varian ABS akan mengaktifkan lampu hazard ketika berlakunya pembrekan secara tiba-tiba. Ianya dapat memberi peringatan kepada pengguna jalan raya yang lain, terutamanya yang berada di bahagian belakang, seterusnya dapat menghindari kemungkinan kemalangan.
Selain itu, ACG starter melengkapi kemampuan Honda ADV150 agar ianya tetap halus ketika enjin dihidupkan. Ciri tersebut bergandingan dengan teknologi ISS (Idling Stop System) khas Honda yang akan mematikan enjin secara automatik ketika berhenti, dan akan menghidupkannya kembali dengan hanya memulas pendikit minyak.
Untuk pasaran Indonesia, Honda ADV150 2021 yang kini ditawarkan tujuh pilihan warna kesemuanya, boleh dimiliki pada harga Rp. 37,805,000 (On The Road Jakarta) untuk varian ABS, bersamaan RM 10,564.27. Bagi varian CBS pula, harganya ialah Rp. 34,742,000 (On The Road Jakarta), bersamaan RM 9,708.34 (kadar semasa).