Suzuki Raider R150 Fi model tahun 2020 di pasaran Thailand

Sempena dengan berita mengenai kemungkinan Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (nama baharu Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd.) akan melancarkan kembali barisan model-model moped dan kapcai untuk pasaran Malaysia, ada baiknya kita lihat dahulu model moped yang ditawarkan oleh Suzuki untuk pasaran Thailand ketika ini.

Model moped yang dimaksudkan itu ialah Suzuki Raider R150 Fi model tahun 2020, yang diperkenalkan sejak bulan April yang lalu. Spesifikasi teknikalnya masih sama seperti model tahun 2019, namun telah menerima kemaskini warna baharu. Tiga pilihan warna yang ditawarkan itu ialah Hitam Emas, Biru (Blue GP) dan Hitam Merah.

Suzuki Raider R150 Fi 2020 di pasaran Thailand adalah model yang sama dijual di pasaran Indonesia, Vietnam dan Filipina. Untuk pasaran Indonesia, ianya dikenali dengan nama Suzuki Satria F150. Untuk model di pasaran Vietnam pula, lampu penunjuk arahnya (lampu signal) tampil berlainan dengan reka bentuk jenis terpisah.

Selain daripada reka bentuknya yang lebih sporty berbanding generasi terdahulu yang dilengkapi enjin dengan karburator, Suzuki Raider R150 Fi generasi baharu dilengkapi enjin empat lejang yang lebih berprestasi dengan teknologi Fuel Injection. Masih dalam sesaran 147cc (DOHC, 4-valve), enjin tersebut juga dilengkapi sistem sejukan cecair.

Enjin tersebut yang dipadankan transmisi enam kelajuan dengan klac tangan manual menghasilkan kuasa maksimum 18.5PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 13.8Nm @ 8,500rpm. Sebagai perbandingan, Yamaha Y15ZR V2 hanya dilengkapi transmisi lima kelajuan dengan kuasa maksimum 15.4PS @ 8,500rpm dan tork 13.8Nm @ 7,000rpm.

Suzuki Raider R150 Fi mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4.0 liter sahaja, manakala berat keringnya ialah 109 kg. Suspensi depannya ialah sepasang fork teleskopik yang kemudiannya digandingkan dengan suspensi belakang monoshock. Sistem brek jenis cakera depan dan belakang melengkapkan ciri keselamatannya.

Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Suzuki Raider R150 Fi ini termasuklah sistem penghidup enjin One Push Electric Starter yang memudahkan, panel meter digital sepenuhnya, sistem kunci One Push Key Shutter yang lebih selamat, lampu depan LED, ruang simpanan barangan dan kerangka badan yang kuat dan tegar.

Untuk pasaran Thailand, Suzuki Raider R150 Fi model tahun 2020 ini boleh dimiliki pada harga sebanyak THB 69,900.00, bersamaan RM 9,262.78 mengikut kadar tukaran semasa. Saingan utamanya di pasaran Thailand ialah model Yamaha Exciter 150 2020 yang dijual pada harga lebih rendah THB 65,000.00, bersamaan RM 8,615.53.

Mengenai kemungkinan Suzuki Malaysia akan kembali melancarkan model moped di pasaran tempatan, sudah pasti model Suzuki Raider R150 Fi ini satu-satunya pilihan yang ada buat masa ini. Mungkin ramai yang akan berasa skeptikal kerana rekaannya tanpa pelindung kaki (leg shield) dilihat tidak akan mampu menarik ramai pembeli.

Namun begitu dengan tawaran harga yang tepat dan promosi agresif yang dijalankan, tidak mustahil Suzuki Raider R150 Fi atau nama tempatannya Suzuki Belang R150 Fi ini akan kembali menawan hati peminat motosikal di Malaysia. Model ini khusus untuk anda yang mementingkan prestasi dan kelajuan serta mahu lari dari kebiasaan.

(Visited 3,466 times, 3 visits today)