Kawasaki perkenal Ninja H2 Carbon 2021 dan Ninja H2R 2021 di pasaran Jepun, adakah ini pengeluaran terakhir?

Baru-baru ini pada tarikh 10hb. September 2020, Kawasaki telah mengumumkan ketibaan model Ninja H2 Carbon 2021 dan Ninja H2R 2021 untuk pasaran domestik Jepun. Turut diumumkan ialah tempoh tempahan untuk kedua-dua model berkenaan.

Bagi model Ninja H2 Carbon, tempahan dibuka mulai 15hb. September 2020 sehingga 15hb. Oktober 2020, manakala bagi model Ninja H2R, tempoh tempahan bermula dari 10hb. September 2020 sehingga 21hb. Oktober 2020. Penghantaran bagi kedua-dua model pula masing-masing akan bermula selepas bulan April 2021 dan Jun 2021.

Apa yang menarik perhatian sebenarnya ialah Kawasaki turut memaklumkan bahawa syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang perancangan untuk terus memperkenalkan kedua-dua model tersebut di pasaran domestik Jepun, selepas model tahun 2021.

Pengumuman tersebut telah mencetuskan spekulasi di kalangan pihak media bahawa Kawasaki Ninja H2 Carbon 2021 dan Kawasaki Ninja H2R 2021, mungkin merupakan model terakhir yang akan dikeluarkan, bermakna pengeluaran akan ditamatkan.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada pasaran domestik Jepun sahaja yang terlibat, atau ianya juga akan melibatkan pasaran luar negara selain daripada pasaran Jepun. Jika benar, mungkin hanya Ninja H2 sahaja yang akan ditawarkan di pasaran selepas ini.

Kawasaki Ninja H2 Carbon merupakan versi yang dipertingkatkan berbanding Ninja H2, dikuasakan enjin 998cc (liquid-cooled, 4-stroke in-line 4-cylinder, DOHC 4-valve) dengan teknologi Supercharger, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 231PS @ 11,500rpm (242PS dengan RAM Air) dengan tork maksimum 141Nm @ 11,000rpm.

Bagi model Kawasaki Ninja H2R pula, ianya merupakan versi paling ekstrem dan hanya sah untuk kegunaan di litar atau kawasan tertutup sahaja. Penyelenggaraan model tersebut juga hanya boleh dilakukan di pusat servis yang diperakui oleh Kawasaki.

Kawasaki Ninja H2R mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 310PS @ 14,000rpm (326PS dengan RAM Air) dengan tork maksimum 165Nm @ 12,500rpm. Menurut Kawasaki, kelajuan maksimum Ninja H2R mencapai angka 380 km/j.

Untuk pasaran Jepun, Kawasaki Ninja H2 Carbon 2021 ditetapkan harganya sebanyak 3,630,000 Yen, bersamaan RM 142,556.97, sementara harga Kawasaki Ninja H2R 2021 ialah 6,050,000 Yen, bersamaan RM 237,594.96 mengikut kadar semasa.

Di pasaran Malaysia, hanya dua model sahaja ditawarkan ketika ini iaitu Kawasaki Ninja H2 dan Ninja H2R. Bagi model Ninja H2, harganya sebanyak RM 145,312.00, manakala Ninja H2R boleh dimiliki pada harga RM 245,397.00 (sumber dari Mudah.my).

Galeri : Kawasaki Ninja H2 Carbon 2021

Galeri : Kawasaki Ninja H2R 2021

(Visited 138 times, 12 visits today)