Yamaha MT-15 2020 dijangka akan dilancarkan oleh HLYM pada pertengahan bulan September depan

Masih lagi segar dengan ramalan pelancaran model naked Yamaha MT-25 2020 untuk pasaran Malaysia pada pertengahan September depan, hari ini sumber maklumat terbaharu mengatakan sebaliknya. Menurut sumber tersebut, model terbaharu yang bakal dilancarkan oleh HLYM itu sebenarnya adalah model Yamaha MT-15 2020.

Sebenarnya, sejak beberapa bulan yang lalu beberapa blog permotoran tempatan telah menyiarkan sekeping gambar spyshot sebuah model naked yang sedang diuji di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Bagaimanapun gambar tersebut agak kurang jelas, namun model berkenaan dikatakan mirip model Yamaha MT-15 berbanding Yamaha MT-25.

Jika benar Yamaha MT-15 2020 yang bakal dilancarkan oleh HLYM pada pertengahan bulan September depan, ianya merupakan suatu berita yang baik memandangkan model naked tersebut juga mempunyai reka bentuk dan spesifikasi yang menarik dan canggih. Tambahan pula harga jualannya pasti lebih berpatutan dan mampu milik.

Setakat ini Yamaha MT-15 telah berada di pasaran negara jiran Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, dan juga di pasaran India. Jadi tidaklah menghairankan jika model tersebut seterusnya dilancarkan di pasaran Malaysia. Ketika ini di pasaran Indonesia, Yamaha MT-15 dijual pada harga Rp. 36,930,000.00, bersamaan RM 10,521.76.

Yamaha MT-15 dilengkapi enjin bersesaran 155cc VVA (Liquid-Cooled, 4-stroke, Single Cylinder, SOHC, 4-Valve) dengan transmisi enam kelajuan, dan sistem klacnya dibantu oleh teknologi Assist & Slipper Clutch untuk tunggangan yang lebih mudah. Kuasa maksimumnya mencapai 19.3PS @ 10,000rpm dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.

Ciri-ciri menarik lain yang dimiliki oleh model tersebut termasuklah kerangka deltabox yang tegar, panel meter digital LCD, lampu depan LED jenis monofocus, lampu belakang LED, fork depan upside-down, sistem brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api maksimum 10 liter, dan mempunyai berat hanya 133 kg (wet weight).

Di pasaran Thailand pada pertengahan Julai yang lepas, Yamaha MT-15 Limited Edition 2020 terbaharu telah dilancarkan dengan warna eksklusif, dan dijual pada harga THB 98,500, bersamaan RM 13,346.62 mengikut kadar tukaran semasa. Jadi adakah anda bersedia menantikan ketibaan Yamaha MT-15 2020 yang sporty ini?