Yamaha 125ZR Go Edition (M1 Special Edition) 2003 berharga RM 85,000.00, dibeli oleh peminat dari Vietnam

Sebelum ini Arena Motosikal pernah melaporkan bahawa Yamaha 125ZR versi New Old Stock (NOS) yang masih berada di pasaran ketika ini, telah mencapai tahap harga jualan mencecah RM 20,000.00. Jika anda merasakan harga setinggi itu sangat mahal, bagaimana kalau ada pembeli yang sanggup membelinya pada harga RM 85,000.00?

Menurut laporan akhbar Harian Metro hari ini, sebuah model Yamaha 125ZR Go Edition (Yamaha 125ZR M1 Special Edition) keluaran tahun 2003, telah berjaya dijual dengan harga tunai sebanyak RM 85,000.00. Pembeli motosikal tersebut pula ialah seorang peminat tegar dari negara Vietnam, yang hanya dikenali dengan nama Chuong.

Menurut pemilik motosikal tersebut, Mohamad Azehar Mat Siam, 29, dia sememangnya terkejut kerana ada peminat yang sanggup membayar harga setinggi itu untuk motosikal yang telah 17 tahun berada dalam simpanannya. Malah Chuong juga dikatakan turut membeli beberapa alat ganti asli motosikal keluaran edisi terhad berkenaan seperti tayar dan ‘cover set’ dengan harga RM 5,000.00.

Menurut Azehar lagi, dia membeli motosikal tersebut dahulu pada harga RM6,617.76 kerana terlalu meminati pelumba MotoGP dari Itali, Valentino Rossi, yang ketika itu menunggang jentera Yamaha YZR-M1 dengan livery yang sama. Motosikal itu dikatakan bukan saja tidak pernah ditunggang, malah tidak pernah didaftarkan.

Nampaknya pelaburan yang dibuat oleh Azehar sangat-sangat berbaloi, namun pada pendapat Arena Motosikal, Chuong tidak rugi apabila membeli Yamaha 125ZR Go Edition keluaran tahun 2003 ini. Ianya merupakan sebuah motosikal bertaraf ‘super rare’ keluaran edisi terhad sejak 17 tahun yang lalu, dan masih dalam keadaan baharu.

Untuk peminat tegar dan pada masa yang sama mempunyai wang untuk dibelanjakan, pembelian seperti ini adalah suatu kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Tahniah kepada Azehar kerana berjaya menjual pada harga yang tinggi, dan tahniah juga kepada Chuong kerana berjaya menjadikan motosikal itu milik anda.

Sumber : Harian Metro, Berita Harian & Cường Nguyễn FB

(Visited 6,403 times, 2 visits today)