Model naked KTM 250 Duke dengan penampilan serba baharu dilancarkan di pasaran tempatan pada tarikh 26hb. September 2017 yang lalu. Kini pada tahun 2020, model tersebut masih lagi dijual tanpa sebarang kemaskini terbaharu, pada harga jualan asas RM 20,500.00. Dua pilihan warna yang tersedia ialah jingga dan putih.
Di pasaran negara lain seperti India contohnya, KTM 250 Duke 2020 terbaharu telah dilancarkan baru-baru ini dengan lampu depan LED, sama seperti yang dimiliki oleh model semasa KTM 390 Duke 2020. Model tersebut kini turut didatangkan dengan mod Supermoto ABS, juga sama seperti yang dimiliki oleh model KTM 390 Duke.
KTM 250 Duke 2020 di pasaran India juga telah menerima kemaskini warna dan grafik terbaharu yang kelihatan lebih sporty dan agresif. Untuk pasaran Malaysia, perubahan yang bakal diterima seperti model di pasaran India mungkin akan mengambil sedikit masa, memandangkan unit sedia ada ketika ini masih banyak ditawarkan di pasaran.
Selain daripada penampilannya yang agresif dan bersedia menghadapi sebarang cabaran, KTM 250 Duke sememangnya menawarkan prestasi kuasa yang cukup memuaskan. Enjinnya bersesaran 248.8cc dengan satu silinder tunggal dan sistem sejukan cecair, menghasilkan kuasa maksimum 30hp @ 9,000rpm dan tork 24Nm @ 7,250rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dengan slipper clutch.
Pengendalian tunggangannya yang lincah dan terkawal disumbangkan melalui penggunaan suspensi depan dan belakang daripada WP, manakala sistem brek cakera depan 300 mm dan belakang 230 mm dengan sistem ABS (Bosch 9.1 MB Two Channel ABS – disengageable) memastikan jentera berprestasi itu sentiasa selamat.
KTM 250 Duke turut dilengkapi panel meter LCD dengan pelbagai informasi penting, lampu halogen depan yang diapit oleh lampu DRL (Daytime Running Lights), ketinggian tempat duduk 830 mm, tangki bahan api dengan isian maksimum 13.4 liter, tayar depan 110/70 R17, tayar belakang 150/60 R17, dan berat kering hanya 149 kg.