Yamaha 100 Sports pernah popular di pasaran Malaysia

Berdasarkan keratan daripada majalah permotoran terkenal tanah air Roda-Roda, Yamaha 100 Sports telah dilancarkan di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu, sebagai yang pertama diperkenalkan di pasaran ASEAN. Namun tidak dapat dipastikan pada tahun bilakah ianya dilancarkan secara rasmi, kemungkinan besar pada tahun 1986.

Berdasarkan keratan majalah Roda-Roda itu lagi, Yamaha 100 Sports dilengkapi enjin dua lejang bersesaran 102cc, dan dipadankan dengan transmisi empat kelajuan. Pengeluaran model tersebut dikatakan hasil daripada kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan oleh Yamaha Motor Company Ltd. Jepun selama tempoh tiga tahun.

Menurut Pengarah Hong Leong Yamaha pada ketika itu iaitu Encik Takenori Takada, Yamaha 100 Sports merupakan model terbaharu yang menggantikan model Y80 dan Y88, dan direka khas untuk pasaran Malaysia, Thailand dan Indonesia. Antara ciri-ciri menariknya ialah dilengkapi fork depan teleskopik dan rekabentuk yang aerodinamik.

Selain itu ianya juga dikatakan berkeupayaan untuk berjalan jauh dengan penjimatan minyak sehingga 158 batu segelen. Pelancaran Yamaha 100 Sports pada ketika itu didatangkan dengan tagline Pencabar Zaman, dan dijual pada harga $3,288.88. Hong Leong Yamaha mengatakan model tersebut merupakan pencabar yang berpotensi.

Kemudiannya pada tahun 1996, Hong Leong Yamaha kemudiannya telah melancarkan generasi baharu Yamaha 100 Sports dengan rekabentuk yang lebih sporty, yang dikenali dengan nama baharu Yamaha 100 Sports 2. Sebelum itu pada awal tahun 1990an, model Yamaha 110SS yang lebih berprestasi dan moden telah dilancarkan.

Yamaha 100 Sports tidak dinafikan suatu ketika dahulu sangat popular di pasaran tempatan, kerana rekabentuknya yang menarik dan sporty. Pencabar terdekatnya pada ketika itu mungkin model Suzuki RC 80 atau Suzuki RC 100. Tidak dinafikan ramai di antara kita yang mempunyai pengalaman manis dengan model Yamaha 100 Sports ini.