Melalui paparan di dalam laman sesawang dan laman Facebook rasmi mereka, GPX Malaysia telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan melancarkan sebuah model terbaharu untuk pasaran tempatan, diberi nama GPX POPz 110. Namun begitu tarikh rasmi pelancaran untuk model berkenaan masih belum diumumkan.
GPX POPz 110 merupakan sebuah model kapcai dalam segmen Super Cub seperti mana model keluaran Honda, dan ianya tampil bergaya retro dengan pilihan beberapa warna yang cukup menawan. Enjin empat lejangnya bersesaran 109cc dengan sistem sejukan udara, yang kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.
Ciri-ciri menarik yang dibekalkan untuk GPX POPz 110 ini antaranya seperti lampu depan dan lampu belakang LED, paparan meter semi digital, rim aloi 17 inci, dan sistem brek cakera di bahagian roda depan. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai harga yang bakal ditawarkan, sama-sama kita tunggu pelancaran rasminya tidak lama lagi.