Web Analytics
Yamaha F1ZR model tahun 1997 di pasaran Indonesia, varian automatik tanpa klac tangan – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Yamaha F1ZR model tahun 1997 di pasaran Indonesia, varian automatik tanpa klac tangan

Suatu ketika dahulu di pasaran Malaysia, Yamaha telah menawarkan model Yamaha SS Two yang diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1997, dalam dua varian iaitu Racing Spirit dan Dual Clutch. Pada tahun yang sama pasaran Indonesia juga menerima model yang serupa, namun lebih dikenali dengan nama Yamaha F1ZR.

Menurut maklumat dari Wikipedia, Yamaha F1ZR keluaran tahun 1997 untuk pasaran Indonesia hadir dengan klac tangan manual semi automatik, sama seperti Yamaha SS Two Dual Clutch di pasaran Malaysia pada ketika itu. Bagaimanapun jika anda melihat galeri gambar di bawah, Yamaha F1ZR 1997 juga didapati hadir tanpa klac tangan.

Agak menarik juga apabila model sporty dan berprestasi seperti Yamaha F1ZR ini tidak dilengkapi klac tangan, kerana corak tunggangan dengan klac automatik pastinya lebih mudah. Tambahan pula terdapat ramai penunggang motosikal di luar sana terutamanya golongan wanita yang lebih selesa menggunakan motosikal tanpa klac tangan manual.

Yamaha F1ZR keluaran tahun 1997 ini dilengkapi enjin dua lejang berkapasiti 110.4cc, dan dipadankan transmisi empat kelajuan. Sistem penyampaian bahan apinya masih menggunakan sistem karburator, dan mempunyai tangki bahan api maksimum 4.5 liter. Juga terdapat teknologi penyejukan YPCS (Yamaha Performance Cooling System).

Sistem brek depan merupakan jenis cakera, manakala di bahagian roda belakang ialah brek jenis dram. Pada tahun 2000, Yamaha F1ZR untuk pasaran Indonesia telah menerima versi kemaskini terbaharu dari segi rekaan yang kelihatan lebih moden, serta dilengkapi klac tangan manual sepenuhnya, atau dikenali sebagai full clutch.

 
Arena Motosikal © 2023