Yamaha TMAX560 ABS dan TMAX560 TECH MAX ABS 2020 dilancarkan untuk pasaran Jepun

Dalam bulan Mei 2020 yang lepas, Yamaha telah melancarkan dua varian skuter maxi terbaharu iaitu Yamaha TMAX560 ABS 2020 dan Yamaha TMAX560 TECH MAX ABS 2020 untuk pasaran domestik Jepun.

Kedua-dua model adalah sama, cuma bezanya ialah varian TECH MAX dilengkapi sistem cruise control, skrin boleh laras elektrik, grip dan tempat duduk dengan ciri pemanas dan suspensi belakang dengan fungsi pelarasan.

Yamaha TMAX560 merupakan pengganti kepada model terdahulu TMAX530, kini memiliki enjin bersesaran 561cc (in-line, 2-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valves) yang menghasilkan kuasa 48PS @ 7,500rpm dan tork 56Nm @ 5,250rpm.

Menurut Yamaha, enjin baharu tersebut menawarkan tahap piawaian emisi yang lebih baik dan kualiti tunggangan dengan ciri sporty dan kurang getaran. Reka bentuk luaran pula telah diperbaiki untuk meningkatkan lagi rekaan dan keselesaannya.

Suspensi depan menggunakan fork jenis terbalik yang dioptimumkan maklumbalasnya terhadap permukaan jalan dan corak pengendalian, manakala suspensi tunggal belakang mempunyai tetapan lembut dan keras berdasarkan jumlah beban.

Rekaan lampu belakang pada TMAX560 telah dikemaskini semula dengan motif T, dan pandangan di bahagian belakang skuter maxi berkenaan kekal tajam dan ikonik. Lampu ‘flasher’ LED baharu yang kompak seterusnya digunakan pada bahagian depan.

Untuk pasaran Jepun, Yamaha TMAX560 ABS dan Yamaha TMAX560 TECH MAX ABS masing-masing boleh dimiliki pada harga 1,276,000 Yen dan 1,419,000 Yen, bersamaan RM 51,400.76 dan RM 57,161.19 mengikut kadar tukaran semasa.

Galeri : 2020 Yamaha TMAX560 ABS

Galeri : 2020 Yamaha TMAX560 TECH MAX ABSĀ 

(Visited 95 times, 1 visits today)