Selain daripada model Aprilia RS 125 2020 yang ditawarkan di pasaran Eropah, sebuah lagi model turut ditawarkan iaitu Aprilia Tuono 125 2020. Berbanding model RS 125 yang merupakan sebuah model sport bike bercirikan perlumbaan, Tuono 125 pula tampil sebagai sebuah model Street Fighter dengan rekaan yang sporty dan agresif.
Aprilia Tuono 125 hadir dengan casis aluminium yang ringan dan mempunyai tahap ketegaran tinggi, dibina eksklusif demi menjamin prestasi terbaiknya. Casis tersebut digabungkan dengan fork depan jenis terbalik yang direka semula sepenuhnya, bersama-sama suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun asimetris yang memastikan prestasi, keselamatan dan keselesaan berada pada peringkat tertinggi.
Rekaan rim aloi enam bilah pada Tuono 125 dipadankan kelengkapan roda daripada Michelin Original Equipment Tyres, kombinasi yang membolehkannya mengambil selekoh pada kelajuan tinggi dengan mudah. Sistem brek pula terpasang kaliper radial empat piston pada roda depan, dibantu oleh sistem BOSCH ABS, yang mencengkam cakera keluli berdiameter 300 mm, sementara di belakang ialah cakera 220 mm.
Walaupun bercirikan prestasi, rekaan Tuono 125 dikembangkan untuk keselesaan penunggang dan pembonceng, di mana posisi tunggangannya tidak terlalu ekstrem. Kedudukan palang pemegang menjamin keselesaan, dan pada masa yang sama memberikan kawalan pada tahap maksimum. Panel instrumen memberikan pelbagai informasi penting dan sistem APRILIA MIA juga tersedia sebagai aksesori tambahan.
Sistem penjana kuasa Aprilia Tuono 125 model tahun 2020 bersesaran 124.2cc (single cylinder, 4-stroke, liquid cooled, electronic injection, 4 valves), bertaraf Euro 4 dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Menurut Aprilia, Tuono 125 bersedia untuk dipasang sistem Quick Shift. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 14 liter, dan ruang kompatmen yang ada cukup untuk memuatkan tablet berukuran 6 inci.
Port USB yang praktikal juga boleh dipasang untuk mengecas semula telefon pintar atau peranti lain yang bersesuaian. Dua pilihan warna yang boleh didapati ialah Red Hero dan Dark Warrior. Harga jualan untuk Aprilia Tuono 125 2020 di pasaran UK adalah sebanyak £ 4,399, bersamaan RM 23,985.01 mengikut kadar tukaran semasa.