Seperti mana yang dijanjikan, KTNS Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar sah motosikal berjenama CFMOTO di pasaran Malaysia, hari ini dengan rasminya melancarkan model terbaharu CFMOTO 250SR 2020. Model sport bike yang bergaya sporty dalam kelas 250cc itu dilancarkan dalam dua pilihan warna menarik iaitu Black dan Blue Turquoise.
Bagi model yang berwarna Black (Hitam), ianya merupakan model SE (Special Edition), manakala model yang berwarna Blue Turquoise (Biru) pula merupakan model LE (Limited Edition). Harga asas yang ditawarkan untuk CFMOTO 250SR SE 2020 ialah RM 15,800.00, manakala CFMOTO 250SR LE 2020 berharga sebanyak RM 17,800.00.
Kedua-dua varian model berkenaan memiliki enjin empat lejang satu silinder berkapasiti 249.2cc (single-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC), yang dilengkapi sistem BOSCH EFI dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 27.5hp @ 9,750rpm dengan tork puncak 22Nm @ 7,500rpm.
Antara spesifikasi menarik yang ditawarkan termasuklah sistem lampu LED, paparan meter digital TFT dengan mod Sport dan Eco, fork depan jenis upside-down, rim aloi aluminium dengan roda berukuran 110/70-R17 (depan) dan 140/60-R17 (belakang), dan sistem brek cakera depan (292mm) dan belakang (220mm) dengan sistem ABS.
Menurut KTNS Holdings Sdn. Bhd. sewaktu majlis pelancaran di Pulau Pinang hari ini, CFMOTO 250SR 2020 dijangka akan tiba di bilik pameran pengedar mulai bulan Ogos depan. Untuk ketenangan minda yang berpanjangan bagi pemiliknya nanti, tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.