Kawasaki Z250 ABS 2020 di pasaran Malaysia, pilihan warna baharu gabungan oren dan hitam

Untuk pasaran tempatan, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd telah memperkenalkan model naked Kawasaki Z250 ABS 2019 pada bulan April tahun lepas, dengan harga asas yang ditawarkan RM 21,998.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Ketika itu hanya satu pilihan warna tersedia iaitu Candy Lime Green.

Baru-baru ini untuk musim jualan tahun 2020, Kawasaki Z250 ABS telah didatangkan tambahan skim warna baharu yang dikenali dengan nama Candy Steel Furnace Orange / Metallic Spark Black, yang merupakan gabungan warna oren dan hitam. Pilihan warna baharu tersebut memberikan lebih pilihan selain daripada warna Candy Lime Green.

Berkenaan harga untuk Kawasaki Z250 ABS 2020 di pasaran Malaysia ketika ini, tinjauan di dalam laman sesawang Mudah.my mendapati terdapat banyak tawaran menarik daripada wakil pengedar Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd. Ini termasuklah promosi tawaran harga menarik, bayaran muka yang rendah dan pemberian rebat.

Kawasaki Z250 ABS 2020 dilengkapi enjin bersesaran 249cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 Valves) dan dipadankan transmisi enam kelajuan, serta dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 37PS @ 12,500rpm dengan tork puncak 23Nm @ 10,000rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 14 liter, dan berat motosikal ialah 165 kg (curb mass).

Sistem suspensinya terdiri daripada fork teleskopik 41mm di bahagian depan, manakala di bahagian belakangnya ialah suspensi tunggal monoshock (Bottom-Link Uni-Trak with gas-charged shock with adjustable preload). Sistem breknya yang dilengkapi ABS hadir dengan cakera depan tunggal berdiameter 310mm dan cakera belakang 220mm.

Bahagian roda memperlihatkan kehadiran tayar depan dalam siri 110/70-17 M/C 54H dan belakang dalam siri 140/70-17 M/C 66H. Untuk tunggangan yang selesa, ketinggian tempat duduk penunggang berada pada paras 795mm. Jika model naked ini bukan pilihan anda, mungkin model Kawasaki Ninja 250 STD 2020 boleh dipertimbangkan.

(Visited 554 times, 4 visits today)