Apabila menyebut tentang sejarah Yamaha FZ150i yang pernah ditawarkan di pasaran Malaysia sebelum ini bermula dari tahun 2008, pastinya kita mengetahui konfigurasi enjin untuk model berkenaan. Ianya dilengkapi enjin 150cc dengan satu silinder tunggal, dan sejujurnya tiada apa yang mengejutkan mengenai enjin empat lejang tersebut.
Bagaimanapun tahukah anda suatu ketika dahulu pada tahun 1990, Yamaha terlebih dahulu memperkenalkan sebuah model FZ150, dengan enjin 150cc V-Twin. Ini bermakna enjin empat lejangnya menggunakan susunan dua silinder dalam bentuk V, dan paparan enjinnya yang unik itu terpampang dengan jelas apabila dilihat dari sisi.
Yamaha FZ150 150cc V-Twin ini tidak pernah dilancarkan di pasaran Malaysia, sebaliknya hanya untuk pasaran beberapa negara sahaja termasuk Jepun dan Taiwan. Untuk model keluaran tahun 1990 ini, ianya boleh didapati dalam empat pilihan warna iaitu hitam, merah, biru dan hijau, dengan lampu depannya yang berbentuk bulat.
Kerangkanya menggunakan casis Deltabox, sistem brek depan jenis cakera, sistem brek belakang jenis gelendong, dan berdekatan bahagian ekor belakangnya tertulis perkataan DELTABOX V-TWIN SOHC 4CYCLE GENESIS. Jika model ini masih ada sekarang, enjin V-Twin berkapasiti 150cc miliknya pasti akan menarik perhatian ramai.