Akhirnya, model terbaharu yang ditunggu-tunggu Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 secara rasminya dilancarkan di pasaran Indonesia, yang berlangsung secara online melalui siaran YouTube Kawasaki Indonesia pada petang tadi.
Antara ringkasan maklumat berdasarkan majlis pelancaran tadi ialah Kawasaki Ninja ZX-25R untuk pasaran Indonesia akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Ninja ZX-25R (Standard) dan Ninja ZX-25R (ABS SE). Varian Standard ditawarkan pada harga Rp. 96,000,000 (bersamaan RM 28,412.55), manakala varian ABS SE pada harga sebanyak Rp. 112,900,000 (bersamaan RM 33,414.35).
Persoalan mengenai jumlah kuasa enjin 250cc empat silinder pada model berkenaan juga telah didedahkan secara rasmi, berada pada paras maksimum 50PS @ 15,500rpm dengan tork maksimum 22.9Nm @ 14,500rpm.
Antara spesifikasi menarik yang melengkapi Kawasaki Ninja ZX-25R ini termasuklah KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, KQS (Kawasaki Quick Shifter – varian SE), SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston), Horizontal Back-link Rear Suspension, dan juga sistem brek yang berprestasi tinggi.
Untuk maklumat lebih lengkap, anda boleh melihat paparan dalam galeri di bawah, yang diambil secara terus dari video majlis pelancaran tadi. Menurut Kawasaki Indonesia, penghantaran pertama kepada pelanggan akan bermula pada Ogos 2020.
Untuk pasaran Malaysia pula, setakat ini masih belum ada petunjuk bilakah ianya akan dibawa masuk. Melihat kepada senarai harga yang ditawarkan pula, rasanya tidaklah terlalu mahal dan pasti ramai yang sudah berangan-angan untuk memilikinya.