Pengguna motosikal di kalangan remaja dan anak muda sekitar awal tahun 1990an dahulu pastinya tidak akan dapat melupakan model Yamaha Sports 110SS. Lebih dikenali dengan nama panggilan ringkas Yamaha 110SS atau Yamaha SS, ianya pernah menjadi fenomena dan boleh dikatakan menjadi kegilaan ramai pada ketika itu.
Dilancarkan pada tahun 1991 atau pada tahun 1992, Yamaha 110SS merupakan kesinambungan kepada model Yamaha Sports 100. Namun jika dibandingkan dengan model Yamaha Sports 100, spesifikasi dan reka bentuk Yamaha 110SS sangat jauh berbeza, dan ianya telah membuka mata ramai peminat motosikal tempatan.
Ini kerana Yamaha 110SS tampil dengan reka bentuk yang diakui cukup sporty, biarpun dipandang dari sudut mana sekalipun. Enjin dua lejangnya pula telah dinaiktaraf kepada 110cc dengan prestasi yang cukup memuaskan, serta dilengkapi dengan klac tangan semi automatik. Sistem brek depannya pula hadir dengan sistem brek jenis cakera.
Sewaktu Yamaha 110SS berada di pasaran tempatan, ternyata ianya telah memberi kesan ketara kepada jualan model-model lain yang menjadi pesaingnya, seperti Suzuki Best 110, Honda Hurricane dan Kawasaki K1. Popularitinya pada ketika itu bolehlah disamakan dengan populariti yang dikecapi oleh model Yamaha Y15ZR pada ketika ini.
Bagaimanapun selepas pertengahan 1990an, zaman kegemilangan Yamaha 110SS kian malap, setelah Suzuki melancarkan model terbaharu Suzuki RG Sport 110 yang tampil dengan rekaan lebih sporty, enjin 110cc jenis menegak yang berprestasi, suspensi belakang monoshock, dan kotak gear dengan lima kelajuan yang mantap.
Akhirnya pada tahun 1996, pengeluaran Yamaha 110SS telah ditamatkan dan digantikan dengan model Yamaha SS Two pada tahun berikutnya. Kini, Yamaha 110SS tidaklah mencapai taraf seperti mana model Yamaha RX-Z, namun tidak dinafikan ianya telah menjadi pencetus kepada pengeluaran moped yang sporty dan berprestasi.