Kebarangkalian untuk anda tidak pernah mendengar nama motosikal ini sangatlah tinggi, namun melihat kepada penampilannya, sudah tentu anda amat mengenalinya sebagai model Yamaha YZF-R25 generasi pertama (2014 – 2018). Bagaimanapun ini bukanlah motosikal keluaran Yamaha, sebaliknya berasal dari negara China.
Berdasarkan carian di dalam internet, model sportbike ini dikenali dengan nama XGJAO RZ25, dikeluarkan oleh syarikat Chongqing Sokon Industry Group Stock Co. Ltd., dan diperkenalkan sejak tahun 2018. Apa yang menariknya mengenai motosikal ini ialah rekaannya yang hampir 100 peratus sama seperti rekaan model Yamaha YZF-R25.
Spesifikasinya juga boleh tahan, apabila dilengkapi enjin empat lejang dua silinder bersesaran 249.3cc, dengan ciri-ciri seperti DOHC, lapan injap, sistem penyejukan cecair, teknologi EFI daripada BOSCH dan penghidup elektrik. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 30.8hp (23kW) @ 11,000rpm dengan tork 22Nm @ 10,000rpm.
Dengan berat 152 kg (net weight), model yang juga dikenali dengan nama XGJAO XGJ250-3 ini dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 164 km/j. Harganya di pasaran China dalam lingkungan RM 11,500.00 sahaja, jadi sangatlah berbaloi kalau ada syarikat tempatan yang mahu membawa model ini masuk ke pasaran Malaysia.