Warna baharu untuk Honda Super Cub C125 2020 di pasaran domestik Jepun

Pada beberapa hari yang lepas, Honda telah mengumumkan ketibaan warna baharu Pearl Shining Black untuk model Honda Super Cub C125 di pasaran domestik Jepun. Warna baharu tersebut akan boleh didapati mulai tarikh 31hb. Julai 2020, bersama-sama dua lagi pilihan warna terdahulu iaitu Pearl Cadet Gray dan Pearl Niltava Blue.

Untuk pasaran Jepun, Honda Super Cub C125 model tahun 2020 berharga sebanyak 407,000 Yen, bersamaan RM 16,184.72 mengikut kadar tukaran semasa. Model yang berkonsepkan gaya retro moden itu dilengkapi enjin bersesaran 124.89cc (Single Cylinder, Air Cooled, SOHC 4-Stroke 2 Valve) dengan gandingan transmisi empat kelajuan, dan turut dilengkapi sistem suntikan bahan api canggih PGM-Fi.

Janaan kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai angka 9.7PS @ 7,500rpm dengan tork 10Nm @ 5,000rpm. Spesifikasi lain yang melengkapi model tersebut ialah sistem penghidup elektrik, tangki petrol dengan kapasiti 3.7 liter, sistem suspensi depan jenis fork teleskopik, suspensi belakang berkembar, sistem brek depan cakera dan tayar tanpa tiub yang dipasangkan pada rim roda tuangan yang elegan.

Honda Super Cub C125 juga tampil dengan beberapa ciri menarik antaranya seperti rekaan bar hendal dan lampu depan bulat yang berkonsepkan klasik, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter analog dan digital yang digabungkan bersama, sistem Honda SMART Key yang memberi lebih kemudahan, carrier belakang untuk muatan barangan, dan juga tempat pemijak belakang untuk pembonceng bergantung kepada situasi.

Untuk makluman, Honda Super Cub C125 juga ditawarkan di pasaran Malaysia sejak Januari 2019 yang lepas, pada harga RM 13,999.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran). Namun model yang ditawarkan di Malaysia tidak dilengkapi carrier belakang dan tempat pemijak kaki untuk pembonceng belakang.