Jenama pengeluar motosikal GPX dari Thailand baru-baru ini secara rasminya melancarkan sebuah model terbaharu yang dikenali dengan nama GPX Demon GR200R. Menariknya model ini juga dikatakan akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh pengedarnya iaitu Bike Continent Sdn. Bhd. tidak lama lagi.
GPX Demon GR200R merupakan sebuah motosikal berperwatakan sportbike, tampil dengan enjin empat lejang satu silinder bersesaran 198cc, dengan ciri dua injap, sistem penyejukan cecair dan Fi. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan. Berkenaan kuasa enjin, GPX tidak mendedahkan jumlah sebenar kuasa kuda yang dihasilkan, namun kuasa tork diumumkan berada pada paras 17Nm @ 6,500rpm.
Dibina di atas kerangka jenis trellis yang kuat dan kukuh, GPX Demon GR200R mempunyai dimensi lebar x panjang x tinggi pada ukuran 747 mm x 2,020 mm x 1,145 mm, ukuran jarak roda 1,340 mm, ketinggian tempat duduk 815 mm, dan jarak kelegaan bumi 159 mm. Motosikal ini mempunyai berat 150 kg (net weight), dan memiliki ruang tangki bahan api dengan isian maksimum 11 liter.
Sistem suspensinya memperlihatkan kehadiran fork depan jenis upside-down yang digandingkan bersama-sama suspensi belakang monoshock berjenama YSS dengan sistem Multi-Link, dengan ciri boleh laras prabeban sehingga tujuh tahap. Sistem pemberhentian pula diserahkan kepada sistem brek cakera 276 mm di bahagian depan, manakala di bahagian belakangnya ialah brek cakera dengan ukuran 220 mm.
Walaupun masih kelihatan bersaiz kompak, GPX Demon GR200R ini dibekalkan rim sporty bersaiz 17 inci yang dipasangkan tayar depan dan belakang tanpa tiub masing-masing dalam saiz 100/80-17 dan 140/70-17. Menjadikan penampilannya lebih menarik ialah kehadiran sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital dengan pelbagai informasi dan ciri Soft Touch, rekaan ekzos sporty dan footrest berwarna Gold Matt.
Secara keseluruhannya, rekaan, penampilan dan saiz GPX Demon GR200R ini boleh dikatakan lebih menarik berbanding yang ditawarkan oleh model GPX Demon 150GR di pasaran Malaysia ketika ini, di mana saiz kompaknya dengan rim berdiameter 14 inci boleh dikatakan tidak mampu menarik perhatian ramai peminat motosikal tempatan.
Untuk pasaran Thailand, GPX Demon GR200R model tahun 2020 terbaharu ini ditawarkan pada harga Thai Baht 76,500, bersamaan RM 10,628.37 mengikut kadar tukaran semasa, dengan tempoh jaminan selama tiga tahun atau 30,000 km. Pilihan warna menarik yang tersedia pula tiga kesemuanya iaitu hitam, merah dan kelabu.