Honda CBR400R model tahun 2020 untuk pasaran domestik Jepun baru saja diperkenalkan pada tarikh 26hb. Jun 2020 yang lepas, yang mana ianya kini tampil dengan logo baharu yang direka semula. Perbezaan di antara logo baharu dan logo sebelumnya yang tertulis perkataan CBR dan 400R boleh dikatakan sangat minima.
Menurut Honda, logo baharu Honda CBR400R 2020 kini adalah sama seperti mana logo yang digunakan pada model supersport Honda CBR1000RR-R 2020. Pilihan warna pula masih sama seperti model tahun 2019, iaitu Grand Prix Red, Pearl Glare White dan Matte Axis Gray Metallic. Spesifikasi teknikal juga kekal tidak berubah.
Honda CBR400R 2020 dikuasakan enjin 399cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, inline 2-cylinder) yang dipadankan transmisi enam kelajuan, dan turut dilengkapi sistem bantuan Assist & Slipper Clutch. Enjin dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI itu menghasilkan kuasa maksimum 46PS @ 9,000rpm dengan tork 38Nm @ 7,500rpm.
Untuk pasaran domestik Jepun, Honda menawarkan CBR400R model tahun 2020 terbaharu ini pada harga sebanyak 808,500 Yen, bersamaan dengan nilai RM 32,355.98 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk pasaran Malaysia, pihak Boon Siew Honda menawarkan model CBR500R pada harga asas sebanyak RM 34,499.00.
Artikel berkaitan : Honda CBR400R 2019 di pasaran domestik Jepun